KUALA LUMPUR – TikTok Shop mengumumkan komitmen berterusan untuk memperkasa jenama tempatan dan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) di Malaysia melalui penganjuran lebih 1,000 sesi All‑Star LIVE sepanjang tahun 2026. Inisiatif ini diharap dapat membuka ruang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran digital yang semakin kompetitif.
All‑Star LIVE merupakan sesi penstriman langsung premium yang menggabungkan elemen hiburan dan pengalaman membeli‑belah secara interaktif. Ia dibangunkan khas oleh TikTok Shop dengan kolaborasi selebriti terkenal serta pencipta kandungan berprestasi tinggi, yang membantu perniagaan daripada pelbagai skala memperluaskan capaian serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap sesuatu jenama.
Menurut Pengarah Kanan Perkongsian Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz, pendekatan All‑Star LIVE telah menunjukkan hasil positif sepanjang tahun ini. “Pada tahun 2025, kami menganjurkan lebih 100 sesi All‑Star LIVE di Malaysia, membantu jenama yang terlibat dalam program TikTok Shop Mall mencatatkan peningkatan jualan purata lebih 160 peratus berbanding hari biasa. Jualan keseluruhan jenama Mall juga berkembang pada kadar 2.3 kali lebih pantas berbanding penjual di pasaran umum,” katanya dalam satu kenyataan media.
Nur Azre turut menyatakan bahawa pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pengguna terhadap jenama yang ditawarkan di platform TikTok Shop Mall. Ini dipacu oleh pengalaman membeli‑belah yang lebih terjamin serta telus melalui program‑program seperti jaminan 100 peratus ketulenan produk, pulangan percuma selama 30 hari, dan Super Brand Days.
“Dengan sasaran melebihi 1,000 sesi All‑Star LIVE tahun hadapan, kami berharap lebih banyak MSME tempatan dapat berkembang menjadi jenama yang dikenali isi rumah melalui pendekatan shoppertainment yang unik,” tambah beliau lagi.
Inisiatif ini turut disambut baik oleh ratusan usahawan tempatan dan pakar industri yang berkumpul dalam acara TikTok Shop Mall Ascend, yang dianjurkan untuk meraikan pencapaian perniagaan tempatan serta mengiktiraf jenama‑jenama berprestasi tinggi dalam ekosistem TikTok Shop Mall. Antara jenama yang menerima pengiktirafan adalah Senheng, PerySmith, Ceecile Women Sportswear dan Panda Eyes, antara lain.
Bagi usahawan dan peniaga yang ingin memahami peluang serta manfaat program TikTok Shop Mall, maklumat lanjut boleh diperoleh melalui TikTok Shop Academy, yang turut menyediakan panduan serta latihan khusus untuk membantu jenama berkembang dalam pasaran digital.
