WhatsApp Image 2026-01-01 at 10.45.49

KUALA LUMPUR – Ambang tahun baharu 2026 disambut meriah di seluruh negara dengan pelbagai aktiviti, termasuk pertunjukan bunga api yang memukau dan acara kerohanian.

Tinjauan mendapati kemeriahan di Pavilion Kuala Lumpur, bangunan ikonik Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Menara Kuala Lumpur menjadi antara tumpuan orang ramai bagi meraikan tahun baharu yang diserikan dengan pertunjukan bunga api yang mewarnai ruang udara ibu kota.

Di hadapan Pavilion Kuala Lumpur, berlangsung penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, menandakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) membuka tirainya secara rasmi.

Festival yang disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyaksikan persembahan yang menggabungkan pertunjukan bunga api pyromusical, unjuran laser serta paparan 3D anamorfik ikonik, selain pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan dengan penglibatan artis terkenal seperti Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans dan KLP48.

Rhythm of KLCC 2026 yang diadakan di Esplanade KLCC pula meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan bunga api dan ‘tower light show’, serta persembahan artis ternama tanah air seperti Datuk Zainal Abidin, Misha Omar, Hafiz Suip, Nikki Palikat, Joe Flizzow dan Sonaone.

Di PUTRAJAYA, kedatangan 2026 disambut dalam suasana berbeza apabila ribuan jemaah memilih pengisian rohani, doa dan ilmu menerusi Program Gema Syukur 2026 yang diadakan di Masjid Putra sejak petang tadi.

Pada sebelah malam pula, diadakan bacaan surah Yasin dan doa selamat, tadabbur al-Quran, podcast (audio siar) “Membina Ummah Rahmah”, Selawat Munajat serta bacaan doa keberkatan bagi menyambut awal tahun 2026.

Stesen televisyen, TV AlHijrah (TVAH) turut memeriahkan malam tahun baru dengan hidangan muzik dakwah dan kontemporari melalui Konsert Malam Bergema yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Kehadiran lebih 3,000 penonton menunjukkan kejayaan TVAH disamping memecah rekod acara tersebut.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading