MEITU_20261030_163043905

PETALING JAYA – Pengunjung yang gemar mendapatkan barangan pada harga menarik berpeluang menikmati pelbagai tawaran menerusi penganjuran ED Expo 2026 yang menghimpunkan lebih 180 jenama terkenal merangkumi 15 kategori beli-belah.

Berlangsung selama 10 hari bermula 31 Oktober hingga 9 November ini di Hextar World Empire City, Petaling Jaya, acara jualan gudang berkenaan menawarkan pelbagai pilihan produk termasuk fesyen, kasut, kelengkapan rumah, peralatan elektrik, kosmetik, gajet, permainan kanak-kanak dan makanan ringan.

Antara jenama yang mengambil bahagian ialah Calvin Klein, Giordano, Hush Puppies, Lee, Renoma, ELLE, Pierre Cardin, Kappa, FitFlop, HEYDUDE dan Diadora.

Turut menyertai acara itu ialah Russell Taylors, THERMOS, Lenovo, HP, Dell, Disney, NERF dan Mattel.

Menariknya, ED Expo 2026 bukan sekadar memberi tumpuan kepada tawaran beli-belah, malah turut memperkenalkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menerusi inisiatif tersebut, sebanyak RM2 akan disumbangkan bagi setiap RM100 yang dibelanjakan pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada tiga organisasi kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan Al Hadid OKU Ampang, Rumah Anak Yatim Shifa Setapak dan Rumah Hope.

Pengurus Besar ED Expo, Julhashim Bin Benung berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan penganjuran acara berkenaan turut memberikan manfaat kepada masyarakat, selain membuka peluang kepada pengguna mendapatkan produk pada harga menarik.

Menurutnya, setiap pembelian yang dilakukan pengunjung bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka dan keluarga, malah turut menyumbang kepada usaha membantu komuniti yang memerlukan.

“Kami percaya kejayaan sesebuah acara beli-belah bukan hanya diukur berdasarkan nilai yang diberikan kepada pengguna dan perniagaan yang mengambil bahagian, tetapi juga manfaatnya kepada masyarakat secara keseluruhan.

“Menerusi inisiatif CSR ini, setiap RM100 yang dibelanjakan di ED Expo akan menyumbang RM2 kepada tiga organisasi kebajikan,” katanya.

Galak Pengguna Berbelanja Secara Bijak

Dalam keadaan kos sara hidup yang terus menjadi perhatian rakyat, ED Expo turut menggalakkan pengguna mengamalkan perbelanjaan lebih berhemah dengan mengutamakan kualiti, kemampuan harga dan keperluan sebenar.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Harga Pengguna negara meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Kenaikan itu turut melibatkan kumpulan makanan dan minuman sebanyak 1.9 peratus, manakala perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 2.1 peratus.

Justeru, penganjur berharap acara berkenaan dapat membantu pengguna membuat pilihan pembelian lebih bijak menerusi perbandingan produk dan tawaran yang tersedia.

Julhashim berkata, konsep membeli-belah secara bijak bukan sekadar mencari barangan paling murah atau membeli dalam kuantiti yang banyak, sebaliknya memastikan setiap perbelanjaan memberikan nilai yang berbaloi.

Pelbagai Pilihan Produk Untuk Pengunjung

Antara kategori produk yang menjadi tumpuan termasuk pakaian dan fesyen harian daripada Giordano, kasut Hush Puppies, bekas minuman THERMOS, peralatan elektrik rumah Russell Taylors serta permainan kanak-kanak keluaran Mattel.

Kepelbagaian pilihan itu membolehkan pengunjung mendapatkan pelbagai keperluan dalam satu lokasi, sekali gus menjadikan ED Expo sebagai destinasi beli-belah untuk seisi keluarga.

Selain tawaran produk, pengunjung turut berpeluang menikmati promosi pembukaan yang menyediakan beg beli-belah percuma dan baucar kepada 100 pelanggan pertama yang memenuhi syarat ditetapkan.

Cabutan bertuah dengan hadiah menarik termasuk pengalaman percutian kapal persiaran, emas dan barangan elektrik turut disediakan sebagai tarikan tambahan.

Menurut Julhashim, ED Expo mempunyai matlamat lebih besar daripada sekadar menghimpunkan pelbagai jenama dalam sebuah acara jualan gudang.

Pihaknya mahu menjadikan platform itu sebagai ruang yang menggalakkan perbelanjaan bertanggungjawab, membuka peluang perniagaan kepada jenama yang mengambil bahagian serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat.

ED Expo 2026 berlangsung dari 31 Oktober hingga 9 November 2026 di Hextar World Empire City, Petaling Jaya, Selangor.

Leave a Reply