MEITU_20261030_034841984

PETALING JAYA – Inovasi keselamatan dan keselesaan kanak-kanak menjadi tumpuan Thule Expo 2026 apabila jenama dari Sweden itu memperkenalkan rangkaian kerusi keselamatan kereta terbaharunya menerusi demonstrasi produk secara langsung di JioSpace, Petaling Jaya.

Pameran eksklusif itu menghimpunkan 180 tetamu, termasuk 80 pengedar dari rantau Asia Pasifik, rakan perniagaan tempatan serta pengamal media, sebagai usaha memperkukuh kehadiran Thule di pasaran serantau.

Antara tarikan utama acara berkenaan ialah pengenalan tiga model kerusi keselamatan kanak-kanak, iaitu Thule Maple, Thule Elm dan Thule Palm, yang direka bagi memenuhi keperluan keluarga moden dari segi keselamatan, keselesaan dan kemudahan penggunaan.

Tidak sekadar mempamerkan produk, Thule turut mengadakan demonstrasi secara langsung bagi menunjukkan bagaimana kerusi keselamatan kanak-kanak boleh dipindahkan dengan mudah dari kenderaan ke sistem kereta sorong bayi yang serasi.

Demonstrasi diketuai Pengurus Produk, Ahmad, itu memperlihatkan pendekatan Thule dalam mengintegrasikan mobiliti keluarga ke dalam rutin harian, selain menitikberatkan aspek ergonomik dan keselamatan.

Naib Presiden Jualan Thule, Daniel Larsson, turut menyampaikan ucapan pembukaan bersama wakil serantau pada acara berkenaan.

Tiga model untuk keperluan berbeza

Rangkaian yang diperkenalkan merangkumi Thule Maple, kerusi keselamatan yang direka untuk bayi baru lahir dan bayi kecil, dengan ciri keselesaan melalui pelarasan sandaran serta keserasian dengan kereta sorong Thule tertentu.

Thule Elm pula merupakan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan fungsi putaran 360 darjah, direka untuk kegunaan jangka panjang. Model itu turut menawarkan ciri pemasangan menghadap ke belakang dan beberapa pilihan kedudukan sandaran bagi menyesuaikan keperluan kanak-kanak yang sedang membesar.

Sementara itu, Thule Palm ialah kerusi penggalak keselamatan dengan sandaran tinggi yang memenuhi standard i-Size. Ia dilengkapi panduan tali pinggang keledar, sistem ISOFIX serta reka bentuk yang membolehkan sehingga tiga kerusi keselamatan dipasang sebaris di tempat duduk belakang bagi kenderaan yang bersesuaian.

Pembangunan rangkaian produk itu mencerminkan penekanan Thule terhadap gabungan keselamatan dan keselesaan dalam perjalanan keluarga.

Pengurus Produk Kategori Kanan bagi Kerusi Keselamatan Kanak-kanak, Ahmad Mansouri berkata, Thule, menawarkan rangkaian kerusi keselamatan kanak-kanak yang menggabungkan ciri keselamatan, reka bentuk ergonomik dan kemudahan penggunaan bagi membantu memudahkan urusan harian ibu bapa.

“Sistem pemantauan pada model tertentu dalam rangkaian kerusi keselamatan Thule direka untuk memberikan maklum balas berkaitan pemasangan dan penggunaan, sekali gus membantu mengurangkan risiko kesilapan yang boleh menjejaskan keselamatan kanak-kanak.


“Bagi model yang dilengkapi ciri bersambung, teknologi sensor boleh membantu mengesan keadaan tertentu, termasuk kedudukan pemasangan atau keadaan tali keselamatan, bergantung pada model dan ciri yang tersedia” katanya.

Tambahnya, pemilihan kerusi keselamatan yang sesuai dengan saiz, umur dan perkembangan kanak-kanak penting bagi memastikan perlindungan yang optimum.

Bagi tujuan itu, Thule menawarkan sistem pemasangan yang direka untuk memudahkan proses memasang dan mengunci kerusi keselamatan pada pangkalan yang serasi. Antaranya ialah pangkalan Thule Alfi ISOFIX yang dilengkapi sistem EasyDock bagi membantu memudahkan pemasangan kerusi keselamatan.


Reka bentuk berkenaan membolehkan kerusi dipasang dengan lebih mudah, manakala penunjuk visual membantu ibu bapa mengenal pasti sama ada pemasangan telah dilakukan dengan betul.
Bagi model tertentu yang mempunyai fungsi putaran, ciri tersebut turut memudahkan ibu bapa meletakkan atau mengeluarkan anak tanpa perlu melakukan banyak pergerakan yang menyukarkan.


Kemudahan ini amat berguna dalam urusan harian, terutama ketika membawa bayi atau kanak-kanak kecil yang sedang tidur. Waaupun sistem pemasangan direka untuk memudahkan penggunaan, ibu bapa tetap perlu memeriksa penunjuk keselamatan dan mengikuti arahan pemasangan bagi model masing-masing.

Pengalaman interaktif untuk keluarga moden

Pendekatan interaktif itu membolehkan pengunjung melihat sendiri reka bentuk serta ciri produk yang ditawarkan, di samping memahami bagaimana rangkaian mobiliti Thule boleh disesuaikan dengan gaya hidup aktif.

Melalui Thule Expo 2026, jenama itu terus mengetengahkan penyelesaian mobiliti keluarga yang menggabungkan fungsi, keselamatan dan kemudahan bagi menyokong keperluan ibu bapa serta anak-anak ketika melakukan perjalanan.

Leave a Reply