0022 Hujanband Atas Angin 2026 HFS09683 by @brstmode @ehhafishah

KUALA LUMPUR – Tidak sekadar meraikan perjalanan sebuah kugiran, perayaan dua dekad Hujan menerusi konsert berskala besar HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN pada 27 Jun depan membawa makna yang jauh lebih mendalam, ia adalah tentang ‘roh’ muzik indie dan kekuatan peminat setia mereka, Raingers.

Sejak ‘turun’ membasahi industri muzik tempatan sekitar 2005, Hujan tidak mengambil masa lama untuk mencetus fenomena tersendiri. Kemunculan album pertama mereka pada 2007 nyata menjadi titik perubahan apabila karya yang dibawa berjaya menembusi dominasi muzik pop arus perdana ketika itu.

Dipimpin figura utama seperti Noh Salleh, AG Coco, Hang Dimas dan Azham Ahmad sebagai pengasas, sebelum disusuli Izzat Uzaini, Hujan terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pelopor indie rock alternatif paling berpengaruh di Malaysia.

Lagu-lagu seperti Pagi Yang GelapAku SkandalDugaanNyaAhmoi ChantekBila Aku Sudah Tiada dan Pijak Hatiku bukan sahaja menjadi siulan, malah membuktikan keupayaan mereka menghasilkan karya berkualiti tinggi secara konsisten. Malah, pengiktirafan menerusi Anugerah Industri Muzik ke-16 mengukuhkan lagi kredibiliti mereka dalam industri.

Memasuki usia 20 tahun, Hujan tidak sekadar bertahan, tetapi berkembang menjadi ‘benchmark’ kepada generasi pemuzik baharu. Pengaruh mereka jelas mengubah landskap muzik tempatan, khususnya dalam membuka ruang kepada genre indie untuk diterima lebih meluas.

Mengiktiraf pencapaian tersebut, ICON Entertainment tampil menganjurkan konsert gergasi HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, perayaan ini sudah lama dirancang, namun sengaja diangkat bersempena ulang tahun ke-20 sebagai simbol penghargaan terhadap perjalanan luar biasa kugiran tersebut.

“Dalam setiap era muzik, akan muncul legenda tersendiri dan Hujan adalah salah satunya. Keberanian mereka membawa muzik indie ketika pasaran dikuasai genre pop adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Tambah beliau, konsert ini dijangka menghimpunkan Raingers dari seluruh Malaysia, malah turut menarik kehadiran peminat dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Bagi Hujan sendiri, konsert ini bukan tentang mereka semata-mata, sebaliknya satu perayaan untuk seluruh ‘scene’ indie yang pernah berjuang menembusi tembok industri muzik komersial.

Menurut AG Coco, HUJAN XX adalah simbol kemenangan buat pemuzik indie yang suatu ketika dahulu berdepan pelbagai persepsi dan cabaran.

“Indie pernah dianggap asing, tetapi hari ini kita melihat bagaimana kepelbagaian genre menjadikan industri muzik lebih berwarna. Itu yang ingin kami raikan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Raingers adalah tulang belakang sebenar perjalanan Hujan.

“Ini bukan tentang kami, tetapi tentang Raingers yang setia sejak 2005. Dengan hanya sembilan album dalam tempoh dua dekad, sokongan mereka adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.

Konsert ini dijangka menampilkan lebih 40 lagu daripada katalog Hujan, menjanjikan pengalaman penuh nostalgia dan emosi buat para peminat.

Menariknya, penonton turut digalakkan mengenakan busana bertemakan band atau jenama tempatan sebagai tanda sokongan kepada gerakan #supportlocal, selari dengan semangat indie yang dibawa.

Tiket bagi HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN dijual pada harga bermula RM158 hingga RM268 dan boleh didapati bermula 10 April ini.

Justeru, buat peminat setia, inilah masanya untuk kembali ‘berhujan’ bersama kugiran legenda ini meraikan muzik, kenangan dan sebuah perjalanan yang telah membentuk sejarah tersendiri dalam industri hiburan tanah air.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading