Kuala Lumpur – Kesedaran masyarakat terhadap persediaan menghadapi akhir hayat terus diperkasakan menerusi pelancaran AkhiRI, satu set pengurusan jenazah lengkap yang diperkenalkan oleh Yayasan Rizalman Ibrahim (Yayasan RI).
Inisiatif tersebut bertujuan membantu umat Islam membuat persediaan awal berkaitan urusan pengurusan jenazah, selain mengurangkan beban ahli keluarga apabila berdepan detik kehilangan insan tersayang. Ia juga menjadi medium pendidikan bagi mengingatkan masyarakat tentang tanggungjawab fardu kifayah yang sering dipandang remeh.
Pengasas Yayasan RI, Datuk Rizalman Ibrahim, berkata kematian merupakan satu kepastian namun masih ramai yang belum bersedia dari segi praktikal dan emosi untuk menguruskan urusan akhir hayat.
Menurut beliau, set AkhiRI diwujudkan bukan sekadar sebagai produk, sebaliknya sebagai satu bentuk kesedaran dan peringatan agar umat Islam lebih peka terhadap keperluan mengurus jenazah dengan tertib, terancang dan mengikut tuntutan syarak.
Set AkhiRI mengandungi 34 item pengurusan jenazah lengkap yang sesuai digunakan untuk lelaki dan wanita. Antara barangan yang disertakan ialah kain kafan sepanjang sembilan meter, set mandian jenazah termasuk sabun gel bidara, kapur barus dan serbuk cendana, selain bantal kecil, tisu basah serta kain penutup jenazah.
Turut disertakan ialah kit ziarah yang membantu memudahkan urusan penghormatan terakhir kepada jenazah dengan lebih kemas dan teratur.
Bagi menambah nilai, setiap pembelian set AkhiRI turut menerima hadiah RItote SeRI Muka, manakala pembelian pakej kombo pula dilengkapi dengan Mushaf al-Quran Edisi Khas bersaiz B4 yang diterbitkan secara terhad.
Lebih bermakna, kesemua hasil jualan set AkhiRI disalurkan sepenuhnya kepada Yayasan Rizalman Ibrahim bagi menyokong pelbagai program kebajikan dan kemanusiaan yang dilaksanakan oleh yayasan tersebut.
Orang ramai berpeluang melihat sendiri set pengurusan jenazah AkhiRI menerusi Pameran GaleRI Visual yang diadakan di RIhall, Kuala Lumpur, selain mendapat maklumat lanjut mengenai kepentingan persediaan akhir hayat.
Datuk Rizalman berharap usaha ini dapat membuka mata masyarakat bahawa persiapan menghadapi kematian bukan sesuatu yang menakutkan, sebaliknya satu langkah bijak dan bertanggungjawab demi kesejahteraan keluarga yang ditinggalkan.
“Inisiatif ini diharap dapat menjadi satu amal berterusan, di samping membantu meringankan urusan orang lain pada saat yang paling mencabar dalam kehidupan,” katanya.
Yayasan Rizalman Ibrahim kekal komited untuk meneruskan usaha menyemai kesedaran, kebajikan dan nilai kemanusiaan melalui pelbagai pendekatan yang memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
