Kuala Lumpur – Program JIMBA Finale 2025 anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd mencatat kejayaan luar biasa apabila menghimpunkan lebih 17,000 peserta di seluruh negara, termasuk lebih 11,000 jemaah yang hadir secara fizikal di cawangan Andalusia. Penganjuran sempena ulang tahun ke-23 syarikat itu bukan sahaja meraikan pencapaian, malah mengukuhkan semangat kebersamaan dan amanah dalam kalangan jemaah.
Kemuncak acara berlangsung pada 31 Disember 2025 di Darul Muttaqin Home, Kuala Lumpur, dengan detik paling dinanti apabila seorang peserta dari Gua Musang, Kelantan, Rakiah Sulaiman diumumkan sebagai pemenang utama cabutan bertuah Bonanza JIMBA. Beliau membawa pulang hadiah istimewa sebuah kereta BYD Sealion 7, sekali gus mencipta kenangan manis buat keluarga dan para hadirin.


Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, penghujung tahun seharusnya dijadikan ruang muhasabah dan pembaharuan azam, khususnya dalam menjaga amanah terhadap jemaah.
“Apabila kita melangkah meninggalkan 2025, saya mahu semua membawa satu azam bersama tidak menjadi biasa-biasa dan tidak berkompromi dengan amanah untuk 30 hingga 50 tahun akan datang,” katanya dalam ucapan utama.
Majlis turut menyaksikan pelancaran Majalah AndalusiaKu edisi 1448H (2026/2027) yang memuatkan kisah inspirasi perjalanan umrah dan pengalaman jemaah. Pelancaran disempurnakan oleh Ida Riswana bersama Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Haji Md Daud Che Ngah dan Pengarah Urusan, Haji Ibrahim Mat Sin. Pelbagai aktiviti lain seperti penghargaan kepada jemaah setia, tawaran eksklusif pakej serta cabutan bertuah turut memeriahkan program.

Menurut Ida Riswana, hala tuju pengembangan Andalusia mesti berteraskan niat yang betul dan keberanian berfikir lebih besar demi manfaat umat.
“Kami tidak takut untuk berfikir lebih besar selagi niatnya untuk menyantuni Duyufur Rahman. Apa yang kami bawa ini, insya-Allah untuk kebaikan umat,” ujarnya.
Beliau turut menyuarakan aspirasi untuk melihat umat Islam lebih kukuh dan berdaya saing dalam dunia perniagaan, khususnya industri umrah yang semakin mencabar di peringkat global.
Dalam sidang media, beliau memaklumkan penyertaan JIMBA Finale 2025 merupakan antara yang tertinggi sejak diperkenalkan. Program JIMBA juga bertujuan memperkenalkan lebih banyak pakej Andalusia, mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat serta memastikan jenama itu diterima di seluruh negara.

Karnival JIMBA dirancang sebagai inisiatif jangka panjang selama 10 tahun bermula 2025 hingga 2035, dengan tawaran ganjaran yang semakin bernilai setiap tahun. Sasaran seterusnya adalah meluaskan capaian sehingga 80,000 jemaah melalui kesinambungan program ini.
Seiring perancangan masa hadapan, Andalusia turut merancang memperkenalkan kiosk layan diri secara berperingkat bermula 2026, khususnya di lokasi awam sekitar Lembah Klang. Inisiatif itu dijangka memudahkan pelanggan menguruskan pembelian pakej, pembayaran dan cetakan resit secara kendiri.
Bagi Rakiah Sulaiman, kemenangan hadiah utama itu disifatkan sebagai rezeki yang tidak disangka. Anak beliau, Nur Liyana Othman berkata mereka hampir meninggalkan majlis sebelum nama ibunya diumumkan.
“Rezeki Allah datang pada saat yang tidak disangka. Sampai sekarang masih berdebar,” katanya.
Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd kekal komited memperkasakan perkhidmatan umrah melalui inovasi, amanah dan pendekatan mesra jemaah, selaras dengan misi membawa kebaikan kepada umat.
