KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris mendedahkan 20 pegawai TUDM dikenal pasti terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, beliau berkata, TUDM komited memastikan semua individu terbabit dibicarakan dan diadili mengikut lunas serta peruntukan Perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa sebarang pengecualian.
“Siasatan awal mendapati seramai 20 orang pegawai TUDM telah terlibat secara langsung di dalam aktiviti tidak bermoral ini.
“TUDM akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan perundangan ATM. Perlu ditegaskan, budaya tidak sihat tersebut bukanlah suatu amalan bagi TUDM.
“Pihak TUDM memandang serius sebarang perlanggaran terhadap perintah, direktif dan peraturan serta tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
“Pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pertahanan (Mindef) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah kem tentera dan tular di media sosial.
Unit Komunikasi Strategik Mindef dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, siasatan itu bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
