Acara besar seperti Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 tutut melibatkan program audio siar bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Kuala Lumpur – Walaupun mempunyai latar belakang kerjaya merentas pelbagai industri termasuk perhotelan, perundingan acara bebas dan seni, Rayme Zainal kini memilih untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada bidang keusahawanan sebagai penganjur acara profesional. Pada usia 47 tahun, beliau melihat industri pengurusan acara sebagai satu bidang yang stabil dari segi pendapatan serta mempunyai potensi pertumbuhan jangka panjang di Malaysia.
Menurut Rayme, kerjaya sebagai pengurus acara atau event organizer (EO) bukan sahaja menawarkan jaminan pendapatan yang lebih konsisten, malah semakin relevan selari dengan perkembangan sektor pelancongan, ekonomi kreatif dan gaya hidup rakyat. Keyakinan itu turut diperkukuhkan dengan prestasi syarikat miliknya, Raydiates Blue Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada tahun 2023 dan kini semakin mendapat kepercayaan pelanggan utama daripada sektor kerajaan mahupun swasta.

Antara pencapaian paling signifikan Raydiates ialah kejayaan menganjurkan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal, sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025. Bazar yang berlangsung selama 32 hari itu mencatat kehadiran luar biasa dengan lebih satu juta pengunjung, sekali gus menjadikannya antara bazar Ramadan dan Raya terbesar di Lembah Klang. Kejayaan tersebut turut memberi impak besar kepada para peniaga apabila terdapat gerai yang merekodkan jualan mencecah RM100,000, sekali gus mengukuhkan Anjung Syawal sebagai destinasi utama persiapan Aidilfitri di Malaysia.
Selain itu, Raydiates turut aktif menganjurkan pelbagai acara berskala besar sepanjang tahun lalu, termasuk Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 yang menghimpunkan hampir 300 lot niaga sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Acara tersebut berlangsung selama lima hari dan menarik penyertaan ribuan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
Kejayaan Raydiates turut diperluaskan ke segmen gaya hidup sihat apabila syarikat itu menganjurkan acara Fun Run dengan penyertaan hampir 1,000 peserta, hasil kerjasama strategik bersama Anytime Fitness Hampshire dan jenama SimplySiti. Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali gus meningkatkan daya tarikan dan kredibiliti penganjuran.
Dalam masa yang sama, Raydiates juga menganjurkan Karnival Anjung E.A.T.S sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025 yang berlangsung selama lima hari dan berjaya menarik kehadiran sekitar 10,000 pengunjung. Syarikat milik Bumiputera itu turut memainkan peranan dalam memperkasa usahawan mikro apabila bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi menganjurkan Karnival BSN Mikro Madani Zon Pantai Timur di Pasar Payang, Terengganu.

Sebagai pembuka tirai tahun 2026, Rayme kini bersedia melakar sejarah baharu menerusi penganjuran Gema Raya Putrajaya 2026@PICC, sebuah festival Ramadan dan Raya berskala mega yang bakal berlangsung selama 33 hari bermula 15 Februari hingga 19 Mac 2026. Acara ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), yang dipilih kerana kemudahan berteknologi tinggi serta fasiliti bertaraf antarabangsa yang sesuai untuk penganjuran acara berskala besar.
Gema Raya Putrajaya 2026 dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue dengan kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Festival ini bakal menghimpunkan hampir 300 vendor dan dijangka menarik sehingga 800,000 pengunjung sepanjang penganjurannya. Ia menggabungkan elemen keusahawanan, seni dan budaya, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti, sekali gus mengangkat Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan Raya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
