Festival Raya Terbesar di PICC: Gema Raya 2026 Janji Harga Berpatutan untuk Semua

Rayme Zainal bersama barisan wakil penaja Gema Raya Putrajaya 2026@PICC.

PUTRAJAYA – Festival raya terbesar yang julung kali dianjurkan di lokasi ikonik Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Gema Raya Putrajaya 2026 @ PICC, tampil dengan pendekatan inklusif dan komited membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan Ramadan serta Aidilfitri pada harga berpatutan.

Festival yang berlangsung selama 33 hari ini dianjurkan sepenuhnya oleh Raydiates Blue Sdn. Bhd. dengan kerjasama PULSE Group serta mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Ia dijangka menghimpunkan hampir 300 vendor dan menarik sehingga 800,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran.

Fokus Ringankan Beban B40 dan M40

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal menegaskan bahawa penganjuran festival ini bukan hanya bertujuan komersial, sebaliknya sebagai platform membantu golongan B40 dan M40 yang berdepan peningkatan kos sara hidup, khususnya menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Gema Raya Putrajaya 2026@PICC melibatkan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung bermula 15 Februari ini selama 33 hari.

Menurut beliau, pemilihan PICC sebagai lokasi acara tidak bermakna festival ini hanya menyasarkan golongan berpendapatan tinggi (T40).

“Walaupun diadakan di lokasi bertaraf antarabangsa seperti PICC, harga yang ditawarkan tetap berpatutan dan mampu milik. Kami memberi jaminan bahawa majoriti produk dijual pada kadar munasabah untuk semua lapisan masyarakat,” katanya ketika majlis pelancaran festival berkenaan.

Tambah beliau, kadar sewaan lot niaga yang tidak membebankan sepanjang 33 hari penganjuran membolehkan para peniaga menetapkan harga yang kompetitif tanpa perlu menaikkan harga semata-mata untuk menampung kos sewaan.

Berbeza dengan festival raya konvensional, Gema Raya Putrajaya 2026 menggabungkan elemen keusahawanan, seni budaya, teknologi digital, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti dalam satu platform berskala besar.

Antara pengisian utama termasuk program Nur Ramadan yang menampilkan barisan agamawan terkenal bagi mengimarahkan bulan mulia dengan aktiviti kerohanian dan pengisian ilmiah.

Pengunjung bertuah Gema Raya Putrajaya 2026@PICC akan membawa pulang cabutan bertuah utama iaitu kereta Proton e.MAS 5 tajaan PROTON.

Festival ini turut disokong oleh rakan strategik edisi pertama seperti GRAB, MindLab, Red Circle Studio, Happy Token, Aunim Model, Mahardika Production, JBS Solutions, Monster Outdoor, Anjung E.A.T.S, GG Coffee serta Rakan Pelaksana POUCHES MY.

Bagi menambah kemeriahan, festival ini akan diserikan dengan persembahan artis popular tanah air pada hujung minggu terpilih. Antara nama besar yang dijadualkan membuat persembahan ialah Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali, kesemuanya pernah mencipta nama di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu.

Turut memeriahkan acara ialah Bella Astillah, juara sulung Raise The Star Malaysia Didie Shazry serta kumpulan Alpha yang ditubuhkan menerusi program Big Stage Alpha.

Kehadiran artis-artis ini dijangka menjadi daya tarikan utama kepada pengunjung untuk hadir membeli-belah sambil menikmati persembahan hiburan berkualiti dalam suasana selesa dan berhawa dingin sepenuhnya.

Rayme optimis penglibatan artis bertaraf gred A serta sokongan pelbagai pihak akan menjadi penanda aras baharu kepada kelangsungan Gema Raya Putrajaya pada masa akan datang.

“Sebagai penganjur, kami mahu memberikan yang terbaik bukan sahaja kepada pengunjung, tetapi juga kepada para usahawan yang berniaga. Matlamat kami adalah menarik lebih ramai pengunjung ke PICC sambil memastikan semua pihak mendapat manfaat,” ujarnya.

Pada majlis pelancaran sama, lagu tema rasmi festival berjudul Gema Raya turut diperkenalkan. Lagu tersebut ditulis dan dinyanyikan sendiri oleh Rayme sebagai simbol semangat dan identiti acara berkenaan.

Dengan konsep yang menyeluruh serta komitmen terhadap kesejahteraan komuniti, Gema Raya Putrajaya 2026 @ PICC dijangka menjadi antara festival Ramadan dan Aidilfitri paling dinanti-nantikan tahun hadapan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading