Kawasan percutian baru di lereng pergunungan Puncak kini memiliki tarikan indah yang menarik perhatian pelancong dari dalam dan luar Indonesia. Kini, Enchanting Valley by Taman Safari, sebuah destinasi rekreasi lengkap telah rasmi dibuka dan menjanjikan pengalaman percutian yang berbeza dari taman tema biasa.
Terletak di Jalan Raya Puncak KM 77, kawasan seluas kira‑kira 22 hektar ini menggabungkan hiburan, kulinari, muzik, dan edukasi haiwan dalam satu ruang. Konsep Recreation, Dining, & Entertainment (RDE) yang dibawa menjadikan tempat ini pilihan tepat untuk keluarga, pasangan dan pencinta fotografi.




Daya Tarik Serba Lengkap
Sejak pembukaanya pada pertengahan September 2025, Enchanting Valley meraupakan destinasi pilihan di Puncak. Antara tarikan yang menjadi tarikan termasuk:
- LILA & The Magical Forest Show — Teater muzik luar ruang bertaraf antarabangsa yang membawa penonton ke dalam kisah fantasi penuh visual menarik.
- Angklung Show di kawasan air terjun — Pengunjung turut berpeluang belajar dan bermain angklung sambil menikmati keindahan alam.
- Lila’s Magical World — Petting zoo interaktif di mana kanak‑kanak boleh memberi makan dan melihat haiwan secara dekat dengan pengawasan.
- Super Wheels dan permainan lain seperti Bumble Boat serta trampolin Nets Play menjanjikan keseronokan untuk semua peringkat umur.
Tak hanya itu, kawasan Plaza Carnival turut menyediakan tujuh jenis permainan yang menarik untuk pengunjung.

Untuk pengalaman yang lebih dekat dengan haiwan, Enchanting Valley menyediakan mini zoo mesra kanak-kanak. Di sini, anak-anak boleh melihat haiwan comel seperti capybara, meerkat, dan raccoon dengan lebih dekat. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga memberi peluang kepada mereka belajar mengenali haiwan secara santai dan semula jadi.
Santai & Kulinari di Tengah Alam
Bagi pencinta makanan, Enchanting Valley juga punya pelbagai pilihan tempat makan:
- Amarta Restaurant — Sajian Nusantara penuh citarasa.
- District Dining — Menu Asia hingga barat untuk santai bersama keluarga.
- Kembang Nona — Kedai kopi dan snek dalam suasana hijau yang menenangkan.
Area The Pavilion pula menjadi ruang santai terbuka untuk sesi rehat, berbual, atau hanya menikmati suasana puncak yang sejuk.





Kami berpeluang menikamati momen menjamu selera di Amarta Restuarant, yang terletak di tengah hutan kecil ini menawarkan pengalaman yang cukup istimewa. Dikelilingi kehijauan alam dan diiringi bunyi deruan sungai, segala kekusutan di fikiran terasa hilang seketika. Hati dan jiwa digantikan dengan ketenangan yang luar biasa disamping menikmati secawan kopi panas.


Perfect Spot untuk “Insta‑Moments”
Dengan pemandangan pergunungan dan elemen reka bentuk taman yang estetik, Enchanting Valley menjadi pilihan spot foto yang digemari pelancong millennial dan keluarga yang ingin abadikan momen liburan mereka di media sosial.

Antara spot menarik, anda boleh bergambar di Pokok ikonik Tree of Life setinggi 30 meter dan boleh berada di puncak pokok menikmati pemandangan yang indah. Dari puncak ini, mata kita disajikan panorama menakjubkan Puncak Bogor dengan bukit-bukau yang menghijau, udara yang segar, dan suasana yang tenang seolah memanggil kita untuk berhenti seketika dari kesibukan harian. Pengalaman kecil ini terasa begitu mengagumkan, terutama buat anak-anak yang pertama kali melihat dunia dari ketinggian seperti ini.
Sejak dibuka secara rasmi, Enchanting Valley bukan sekadar taman tema baru tetapi ia turut menjadi magnet lokasi percutian keluarga di Puncak Bogor, menawarkan kombinasi hiburan, budaya, alam, dan kulinari yang lengkap dalam satu tempat.





Keunikan tarikanya menjadikan setiap lawatan bukan sekadar lawatan biasa, tetapi pengalaman penuh kenangan yang patut dicuba.
Bakal Perluas Tarikan
Pengarah Komunikasi Korporat Taman Safari Indonesia, Alexander Zulkarnain bekata, Enchanting Valley membawa konsep “fantasi dalam alam semula jadi”, menggabungkan landskap bukit, taman bunga yang cantik, hiasan artistik, serta elemen dekorasi yang estetik dan fotogenik. Udara di kawasan Bogor yang lebih sejuk berbanding kota besar seperti Jakarta menjadikan tempat ini pilihan popular untuk berehat dari kesibukan bandar.

“Enchanting Valley Bogor berkait rapat dengan usaha memanfaatkan keindahan alam Bogor dan menggabungkannya dengan konsep taman fantasi moden bagi menarik pelancong tempatan dan luar negara.
“Lokasi ini luas dan sangat sesuai untuk liburan sekeluarga dan kami berhasrat menambah lagi tarikan antaranya kabin kontena untuk memberi peluang kepada pengunjung menginap dan menikmati alam semulajadi disini” katanya.
Tambahnya, beliau percaya bahawa interaksi yang bertanggungjawab dengan haiwan dan alam dapat memupuk rasa cinta terhadap kehidupan liar dan alam sekitar, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, beliau turut menekankan aspek konservasi dengan menyertai pelbagai program pembiakan dan perlindungan haiwan liar yang terancam, seperti harimau Sumatera dan badak Jawa. Dengan kerjasama pihak antarabangsa, Taman Safari telah menjadi salah satu pusat konservasi terkemuka di Asia Tenggara.
Pengalaman safari gaya Afrika di Indonesia ini menjadikan Taman Safari Indonesia sebagai destinasi yang unik dan wajib dikunjungi oleh pencinta haiwan, keluarga, serta pelancong yang ingin merasai gabungan keseronokan, pembelajaran, dan keindahan alam dalam satu tempat.
