SELEPAS hampir tiga tahun sejak pertemuan terakhir menerusi siri konsert A Night At The Orchestra – Chapter 5 pada September 2023, kumpulan rock legenda Indonesia, Dewa 19, akhirnya kembali ke Malaysia bagi melunaskan janji ‘kangen’ mereka kepada peminat setia tempatan.
Menerusi konsert bertajuk puitis Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia, kumpulan yang diterajui maestro Ahmad Dhani bakal menggegarkan Axiata Arena pada 6 Jun depan.

Menurut penganjur, Icon Entertainment, menerusi pengasasnya Iman Tang, Dewa 19 sentiasa menyimpan rindu untuk kembali bertemu peminat di Malaysia sejak kali terakhir mereka mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 2023.
“Malaysia punya tempat istimewa di hati mereka. Ada cinta yang selalu tertinggal di sini sejak Dewa 19 menembusi pasaran tempatan dan memiliki kelompok Baladewa tersendiri. Justeru, selepas perbincangan dan mencapai kata sepakat, judul konsert ini dipilih sebagai manifestasi rasa itu,” katanya.
Lebih menarik, konsert kali ini tidak hadir bersendirian. Buat julung kalinya di atas satu pentas di Malaysia, Dewa 19 bakal berkongsi sorotan dengan sahabat seperjuangan mereka, Padi Reborn, satu langkah signifikan yang menyatukan dua kelompok peminat gergasi, Baladewa dan Sobat Padi.

Bayangkan untaian hit ikonik Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban berkumandang sebelum pentas diambil alih dengan kegilaan Roman Picisan dan Sedang Ingin Bercinta.
Peminat turut bakal dihidangkan dengan kualiti vokal mantap daripada tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe, selain barisan pemuzik tetap seperti Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha. Aksi di pentas bakal diperkasakan lagi dengan kemunculan pemain dram undangan, Tyo Nugros, yang dijangka menggegarkan dewan Axiata Arena.

Menurut Iman, konsep konsert kali ini tidak menjurus kepada ekstravaganza berlebihan, sebaliknya menekankan rasa ‘kasmaran’ serta keintiman antara artis dan peminat. Menambah kelainan, penganjur menetapkan kod pakaian yang ringkas tetapi ‘pure’: T-SHIRT BAND ORIGINAL, masa terbaik untuk Baladewa dan Sobat Padi mempamerkan identiti sejati mereka.

Memandangkan fenomena Dewa 19 sering menyaksikan tiket habis terjual dalam tempoh singkat, peminat dinasihatkan agar tidak melengah-lengahkan pembelian. Jualan tiket bermula secara rasmi pada Jumaat, 27 Februari ini, pukul 11 pagi.

Butiran Harga Tiket:
RM488 (Sedang Ingin Bercinta)
RM428 (Laskar Cinta)
RM388 (Pangeran Cinta)
RM288 (Bala Sobat)
RM236 (Atas Nama Cinta)
Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rasmi Ticket2U.
