WhatsApp-Image-2026-02-24-at-10.46.13-AM

Kuala Lumpur – Jenazah anak sulung pelakon Amyza Aznan, iaitu Andre Mikhail Khairil Idzhar, 23, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di sini, pada jam 10.40 pagi ini.

Pengebumian Allahyarham Andre dihadiri ratusan orang termasuk ahli keluarga dan kenalan terdekat bagi memberi penghormatan terakhir.

Antara rakan artis hadir termasuk Didie Alias, Ieda Moin, Datin Seri Umie Aida, Datuk Fauziah Nawi, Lisdawati, Norman Hakim, Memey Suhaiza, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi dan Ellie Suriaty.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Andre yang meninggal dunia pada jam 10.15 malam tadi disolatkan di Masjid Al-Khairiah AU3.

Allahyarham Andre yang juga anak sulung daripada tiga adik-beradik meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru tahap tiga yang dihidapi setahun lalu.

Sebelum ini, Amyza merayu kepada mana-mana individu yang mempunyai kepakaran dalam perubatan alternatif untuk membantu merawat Andre yang difahamkan berada pada tahap kritikal.

Baru-baru ini, Amyza begitu terdesak dan kerap memuat naik hantaran di Instagram Story (IGS) mengharapkan pertolongan daripada orang ramai untuk membantu anak itu.

Februari tahun lalu, Amyza berkongsi khabar duka apabila Andre disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Selang setahun, anak keduanya, Adrian Adam, 18, pula disahkan kanser tulang dan perkhabaran duka itu dikongsi aktres itu di platform media sosialnya sehingga mengejutkan ramai.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading