WhatsApp Image 2026-02-24 at 11.14.30

KUALA LUMPUR – Sebanyak 80 hidangan istimewa menanti pengunjung sempena bufet Ramadan bertemakan Warisan Citarasa Asli 2 Benua yang dianjurkan oleh RISDA Security and Services Sdn Bhd (RSS) dengan kerjasama Rumah Makan Patin Pasu.

Program yang berlangsung di Dewan Menara Kumpulan RISDA itu bermula 23 Februari hingga 18 Mac ini, menawarkan gabungan unik masakan tradisional Melayu dan sajian Barat bagi memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.

Dari kiri; Ketua Pegawai Eksekutif RISDA Security and Services Sdn Bhd, Putera bin Sidek, Ketua Pengarah Risda, Yang Berusaha Zainal Azni Bin Zulkifli, Pengerusi RISDA, YB Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib

Ketua Pegawai Eksekutif RSS, Putera Sidek berkata, penganjuran bufet Ramadan kali ini merupakan langkah baharu syarikat dalam memperkukuh kedudukan dalam industri katering dan hospitaliti meskipun telah lebih sedekad berpengalaman dalam pengurusan acara.

“Risda berpengalaman lebih 10 tahun dalam pengurusan acara dan ini merupakan kali pertama kita mengorak langkah untuk bufet Ramadan dan secara langsung meningkatkan lagi cabang perniagaan” katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik bersama Rumah Makan Patin Pasu dipilih berdasarkan kepakaran restoran itu dalam menyediakan masakan Melayu asli, sekali gus menjamin kualiti hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Sementara itu, Pengasas bersama Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar memaklumkan bahawa sebanyak 80 jenis lauk-pauk disediakan setiap hari dan dibahagikan kepada tiga set menu secara bergilir (Set A, B dan C) bagi memastikan kepelbagaian serta mengelakkan pengunjung berasa jemu.

Antara tarikan utama termasuk daging salai, itik salai dan keli salai yang dimasak mengikut resipi tradisi Melayu. Bagi penggemar hidangan Barat pula, menu seperti kambing bakar, lamb stew, lasagna serta pelbagai pilihan pasta dan sajian Itali turut disediakan, dikendalikan oleh cef bertauliah.

Dewan yang terletak di tengah ibu kota itu mampu menampung sehingga 500 tetamu pada satu-satu masa serta dilengkapi kemudahan surau dan parkir percuma. Suasana berbuka turut diserikan dengan persembahan live band bagi menambah kemeriahan Ramadan.

Harga bufet ditawarkan pada kadar RM139 bagi dewasa, RM110 untuk staf dan pesara RISDA, manakala RM88 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun serta warga emas 60 tahun ke atas. Diskaun turut diberikan kepada tempahan berkumpulan, iaitu potongan 10 peratus bagi 30 hingga 40 orang dan 15 peratus untuk tempahan melebihi 41 orang.

Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan melalui kod QR pada poster rasmi atau menghubungi talian 011-17692601, 013-2469229 atau 0193517116.

Penganjuran bufet bertemakan “Citarasa 2 Benua” ini dijangka menjadi antara pilihan utama warga kota di Kuala Lumpur untuk menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana selesa dan eksklusif.

Turut hadir Pengerusi RISDA, YB Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib dan Ketua Pengarah Risda, Yang Berusaha Zainal Azni Bin Zulkifli.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading