WhatsApp Image 2026-02-27 at 11.48.34 (1)

Putrajaya – Fourkay Gold, syarikat peneraju industri pembelian emas gadaian (surat pajak gadai) di Malaysia dan yang pertama dalam sektor ini memperoleh Sijil Kepatuhan Syariah, terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi penganjuran program smenyantuni anak-anak yatim sempena Ramadan dan persiapan Aidilfitri.

Program yang berlangsung pada Rabu itu memberi manfaat secara langsung kepada 39 anak yatim dari Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih melalui beberapa inisiatif utama termasuk sumbangan pakaian Aidilfitri berupa Baju Melayu dan Baju Kurung, pemberian Duit Raya serta majlis berbuka puasa yang diadakan di Le Méridien Putrajaya.

Majlis tersebut diraikan dalam suasana penuh penghormatan dan kegembiraan, sebagai simbol penghargaan serta sokongan moral kepada anak-anak yatim dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.

Ketua Pegawai Eksekutif Fourkay Gold, Mohamad Sanusi Mohd Isa, berkata sebagai syarikat pertama dalam industri pembelian emas gadaian yang memiliki Sijil Kepatuhan Syariah, pihaknya memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan setiap kejayaan perniagaan turut memberi nilai tambah kepada masyarakat.

“CSR bukan sekadar inisiatif bermusim, tetapi sebahagian daripada falsafah korporat kami bahawa perniagaan yang berkat adalah perniagaan yang memberi manfaat.

“Kami melihat kepentingan membantu golongan yang memerlukan disamping memberi kegembiraan kepada mereka lebih-lebih lagi dalam bulan mulia dan syawal yang bakal tiba” katanya.

Menurut beliau, pendekatan berteraskan syariah bukan sahaja diterjemahkan dalam struktur transaksi dan operasi syarikat, malah merangkumi budaya organisasi yang menekankan nilai ihsan, empati dan kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Puteri Ainsyah Quraisha Jamalus berkata, peratusan peningkatan jualan dan pelanggan meningkat 70 peratus dan merupakan satu pertumbuhan terbaik sejak tahun 2025.

“Kami menyasarkan peningkatan positif untuk tahun ini dan berikutnya disamping meningkatkan lagi pengetahuan dalam kalangan masyarakat mengenai industri pembelian emas gadaian patuh syariah” ujarnya.

Beliau turut berkongsi, menyasarkan menambah cabang perniagaannya dengan melaksanakan perluasan Memorandum Persefahaman (MOU) antara pihak kerajan dan Koperasi pada suku ketiga tahun ini.

“Kami juga menerima pelbagai tawaran kerjasama dengan beberapa institusi kewangan termasuk bank dan ini merupakan petanda progresif kepada syarikat, kerjasama ini masih diperingkat perbincangan” tambahnya.

Timbalan YDP Yayakem, Datuk Mohd Alias Mat Saman turut berkongsi keterujaan dan menyifatkan penglibatan Fourkay Gold dalam berkongsi kegembiraan dan rezeki bersama 39 anak-anak yatim ini sedikit sebanyak memberikan sinar harapan kepada mereka.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Fourkay Gold kerana memilih Yayakem. Pada mulanya saya terkejut kerana barisan pengurusannya semua terdiri daripada orang muda, namun saya berbangga dengan kejayaan yang dicapai mereka. Saya yakin asbab program ini, rezeki Fourkay Gold akan bertambah kerana doa anak-anak yatim, doa yang mustajab,” katanya.

Sebagai perintis dalam memperkenalkan pensijilan kepatuhan syariah dalam sektor pembelian emas gadaian, Fourkay Gold turut menetapkan piawaian baharu industri dari segi ketelusan harga dan penilaian emas, struktur transaksi yang adil dan sah, tadbir urus korporat beretika serta operasi patuh syariah yang disahkan.

Sehingga kini, syarikat itu telah membantu lebih 30,000 pelanggan di seluruh negara mendapatkan solusi kecairan tunai secara selamat, profesional dan bertanggungjawab.

Beroperasi di IOI Conezion Commercial, Putrajaya, Fourkay Gold menyatakan komitmen berterusan untuk memperkukuh jenama sebagai rakan kewangan yang dipercayai masyarakat, di samping memainkan peranan aktif dalam pembangunan sosial negara.

Inisiatif santunan Ramadan ini sekali lagi memperlihatkan usaha syarikat dalam memastikan pertumbuhan perniagaan berjalan seiring dengan tanggungjawab sosial yang berimpak dan berterusan kepada komuniti.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading