Kuala Lumpur – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina melangkah ke satu dimensi baharu apabila Malaysia-Bosnia & Herzegovina Business Council (MBBC) secara rasmi melancarkan program International Edutrip & Networking Visit 2.0 – Road to Sarajevo sempena Majlis Iftar Tahunan MBBC 2026.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Perdana Bukit Kiara Equestrian & Resort itu disempurnakan oleh Duta Besar Bosnia dan Herzegovina ke Malaysia, Edin Jahic, dan turut dihadiri barisan EXCO MBBC, wakil institusi pendidikan termasuk SMK Raja Chulan, pemegang taruh industri serta anggota komuniti diplomatik.
Program yang dijadualkan berlangsung dari 31 Mei hingga 6 Jun 2026 itu bakal menyaksikan lawatan kerja para pendidik Malaysia ke Sarajevo, dengan fokus terhadap jaringan akademik, perbincangan institusi serta penerokaan kerangka pertukaran pelajar jangka panjang.

Perluasan Kerjasama Dua Hala Melangkaui Perdagangan
MBBC dikenali sebagai jambatan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina. Namun pelancaran “Road to Sarajevo” membuktikan bahawa hubungan dua hala kini diperluas ke sektor pendidikan dan pembangunan belia sekaligus merupakan satu langkah strategik yang dilihat mampu memperkukuh asas hubungan dua hala.
Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada lawatan libat urus komuniti ke Perak pada tahun 2025 yang diketuai oleh Duta Besar Bosnia & Herzegovina bersama MBBC. Ketika lawatan tersebut, perbincangan bersama pihak SMK Raja Chulan telah membuka ruang kepada kerjasama akademik antarabangsa yang lebih tersusun.

Menurut penganjur, program ini bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi dirangka sebagai platform perbincangan strategik antara institusi pendidikan kedua buah negara, termasuk potensi pemeteraian persefahaman (MoU) serta pembangunan modul pertukaran pelajar dan guru pada masa hadapan.
Edin Jahic menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam membina persefahaman yang berkekalan antara negara.
Beliau menyatakan bahawa apabila institusi pendidikan dan para pendidik saling bekerjasama, ia bukan sahaja mengukuhkan jaringan profesional, malah membina kepercayaan dan persahabatan yang mampu bertahan melangkaui kitaran politik dan ekonomi.
“Hubungan diplomatik yang kukuh bukan hanya dibina melalui perdagangan dan dasar luar, tetapi melalui hubungan manusiawi yang lahir daripada interaksi pendidikan dan budaya.
“Bukan sahaja sistem pendidikan antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina dapat ditambah baik, namun pelbagai nilai tambah juga dapat direalisasikan terutama kepada golongan pelajar peringkat menengah dan secara tidak langsung membuka peluang kepada mereka mengenali budaya, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi” katanya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa program ini akan membuka laluan baharu ke arah kerjasama jangka panjang antara Malaysia dan Bosnia, khususnya dalam pembangunan modal insan generasi muda.

Presiden MBBC, Tan Sri Mohamed Al Amin, menyifatkan pelancaran ini sebagai evolusi strategik peranan MBBC sebagai penghubung dua negara.
Menurut beliau, MBBC telah lama memainkan peranan memudah cara perdagangan dan pelaburan dua hala, namun kini organisasi tersebut memperluaskan perannanya merangkumi pendidikan, pembangunan belia serta diplomasi rakyat ke rakyat (people to people).
“International Edutrip & Networking Visit 2.0 – Road to Sarajevo adalah asas kepada pembentukan kerjasama akademik yang mampan. Dengan rangkaian kukuh MBBC serta kehadiran operasi di Sarajevo, kami yakin inisiatif ini mampu menghasilkan impak yang signifikan dan berpanjangan.
“Bukan itu sahaja, kami juga bakal membawa delegasi usahawan perniagaan Malaysia ke Bosnia & Herzegovina pada September ini untuk melihat peluang perniagaan dan pelaburan dalam pelbagai industri termasuk industri pelancongan” katanya dalam sidang media.
Beliau menambah bahawa pendekatan strategik ini selari dengan aspirasi untuk membina hubungan dua hala yang lebih seimbang dan komprehensif, bukan sahaja tertumpu kepada aspek ekonomi.

Sementara itu, YDP PIBG SMK Raja Chulan, Ipoh, Datuk Mohd Hussin Abdullah menambah, antara pengisian lawatan enam hari di Sarajevo itu memberi peluang kepada delegasi pendidik mengadakan pertemuan dengan institusi pendidikan tempatan disamping meneroka peluang kerjasama akademik serta menilai potensi pertukaran pelajar secara berperingkat.
Jelasnya, antara objektif utama program termasuk; membina jaringan rasmi antara institusi pendidikan Malaysia dan Bosnia & Herzegovina, meneroka program pertukaran pelajar dan guru, berkongsi amalan terbaik dalam sistem pendidikan dan mengukuhkan hubungan budaya dan kefahaman antara generasi muda.
Lawatan ini dijangka menjadi langkah pertama ke arah pembentukan kerjasama institusi yang lebih formal dan berstruktur dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pelaburan dalam Generasi Masa Depan
Pelancaran “Road to Sarajevo” memperlihatkan komitmen MBBC untuk memperkasa institusi, menghubungkan komuniti serta melabur dalam pembangunan generasi masa depan melalui diplomasi pendidikan.
Dengan integrasi sektor perniagaan, pendidikan dan diplomasi dalam satu platform kerjasama, MBBC kini memposisikan dirinya sebagai model baharu kerjasama dua hala yang lebih inklusif dan progresif.

Inisiatif ini berpotensi menjadi contoh kepada model hubungan antarabangsa yang menekankan kekuatan hubungan akar umbi membina jambatan bukan sahaja antara kerajaan dan industri, tetapi antara sekolah, pendidik dan pelajar kedua-dua negara.
Hubungan Malaysia–Bosnia & Herzegovina kini bukan sekadar hubungan diplomatik, tetapi sedang berkembang menjadi jaringan kerjasama berasaskan ilmu, persefahaman dan aspirasi bersama untuk masa depan yang lebih mampan.
