Featured-Image-28

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines pada Ahad mengumumkan penggantungan sementara semua penerbangan ke dan dari Doha (DOH), Jeddah (JED) dan Madinah (MED) sehingga 4 Mac 2026, berikutan penutupan ruang udara di beberapa wilayah Asia Barat selepas ketegangan keselamatan serantau terus meningkat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Malaysia Aviation Group (MAG), langkah itu diambil susulan pembatalan awal yang bermula pada 28 Februari dan dilanjutkan selepas penilaian terhadap risiko keselamatan terkini.

Menurut syarikat penerbangan itu, penerbangan ke destinasi lain termasuk London Heathrow (LHR) dan Paris Charles de Gaulle (CDG) masih diteruskan, namun menggunakan laluan alternatif yang mengelakkan zon konflik.

Antara penerbangan yang terjejas melibatkan beberapa siri kod MH150, MH151, MH156, MH157, MH160, MH161, MH164, MH165, serta beberapa penerbangan umrah dan transit yang turut melalui Doha, Jeddah dan Madinah.

Malaysia Airlines memaklumkan bahawa penumpang terjejas sedang dihubungi dan akan dibantu untuk penjadualan semula atau mendapatkan perjalanan alternatif. Mereka turut dinasihatkan mengemas kini maklumat hubungan melalui fungsi My Booking untuk menerima makluman segera.

“Kami terus memantau perkembangan semasa dan akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh diyakini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines menegaskan bahawa keselamatan penumpang dan kru merupakan keutamaan tertinggi syarikat.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Malaysia Airlines Global Contact Centre di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar negara), atau melalui Live Chat di laman web rasmi.

Sementara itu,  Batik Air turut membatalkan penerbangan berjadual hari ini bagi laluan Kuala Lumpur–Dubai susulan penutupan beberapa koridor ruang udara di Asia Barat.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, keputusan berkenaan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan operasi dan penumpang sentiasa menjadi keutamaan.

Batik Air memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan semasa serta menilai kesan situasi berkenaan terhadap ruang udara serantau dan operasi penerbangan. 

Tindakan tersebut juga selaras dengan panduan pihak berkuasa penerbangan berkaitan.

“Keselamatan operasi adalah keutamaan kami. Kami akan terus membuat penilaian berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa penerbangan awam dan rakan operasi,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Sehubungan itu kenyataan itu menjelaskan, penumpang yang terjejas akan dimaklumkan secara terus dan diberikan bantuan sewajarnya termasuk pilihan penjadualan semula penerbangan atau bayaran balik, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

“Bagi penumpang yang dijadualkan melakukan perjalanan ke destinasi berkenaan dalam masa terdekat, mereka dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status penerbangan melalui laman web rasmi dan saluran komunikasi Batik Air.

“Syarikat penerbangan itu turut memaklumkan akan terus berkoordinasi rapat dengan pengawal selia penerbangan awam, pihak berkuasa lapangan terbang serta rakan operasi dan akan mengeluarkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa,” jelas kenyataan itu.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading