WhatsApp Image 2026-03-10 at 11.07.52 (1)

Kuala Lumpur – Program Iftar Infaq anjuran Dapur Kaseh telah berlangsung di Masjid Sultan Abdul Samad bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada jemaah masjid serta golongan yang memerlukan termasuk gelandangan, warga emas, asnaf dan musafir.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan Dapur Kaseh yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan, dengan tujuan memastikan lebih ramai individu yang memerlukan dapat menikmati makanan berbuka puasa dalam suasana yang selesa dan teratur.

Menurut wakil Dapur Kaseh, Puan Linda, pihaknya menyediakan antara 400 hingga 1,000 hidangan iftar setiap hari, bergantung kepada keperluan pada hari tersebut. Hidangan disediakan secara bufet yang merangkumi makanan utama, kuih-muih, buah-buahan serta minuman.

“Program ini dianjurkan bagi membantu golongan yang memerlukan seperti gelandangan, warga emas, asnaf dan musafir agar mereka juga dapat berbuka puasa dengan sempurna sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Projek Iftar Infaq Ramadan ini turut mendapat sokongan tajaan daripada Datuk Wira Dr Azizan Osman bersama barisan usahawan di bawah bimbingan beliau yang sama-sama menyumbang bagi menjayakan usaha kebajikan tersebut. Melalui program ini, pihak penganjur berharap lebih ramai pihak dapat bersama-sama menyumbang dan membantu golongan yang memerlukan, sekaligus menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.

Menurut Azizan Osman, penglibatan beliau dalam projek kebajikan itu sudah berlangsung lebih sedekad. Namun tahun ini beliau meningkatkan lagi sumbangan kerana cabaran kehidupan komuniti bandar yang semakin mencabar.

Tahun ini juga peruntukan hampir RM2 juta disediakan sepanjang Ramadan untuk memberi makanan kepada kira-kira 5,000 orang setiap hari di pelbagai lokasi.

Azizan turut berkongsi bahawa beliau sendiri pernah melalui kehidupan susah dan memahami perasaan apabila orang membantu memberi makanan. Oleh itu apabila mempunyai rezeki lebih, beliau mahu berkongsi dengan masyarakat.

Masjid dipilih sebagai lokasi kerana kedudukannya yang strategik di tengah bandar serta berhampiran komuniti yang memerlukan termasuk asnaf, pelajar, musafir dan gelandangan yang sering menghadapi kesukaran mendapatkan makanan berbuka puasa.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading