Kuala Lumpur – Hanya tinggal dua minggu lagi sebelum Aidilfitri menjelma, suasana perayaan sudah mula terasa dengan alunan lagu-lagu raya yang menggema, rumah yang dihias meriah, serta aroma kuih-muih yang menyemarakkan persiapan Syawal.
Namun, di sebalik kesibukan itu, Ramadan masih menyimpan rahsia istimewa: sepuluh malam terakhirnya membawa peluang berharga bagi umat Islam, iaitu malam Lailatul Qadar, malam penuh keberkatan yang ganjarannya dijanjikan melebihi seribu bulan.

Menyedari hakikat ini, TV AlHijrah mengambil inisiatif untuk mengingatkan masyarakat agar tidak terlepas detik paling berharga dalam bulan mulia ini melalui rangkaian program khas sepanjang sepuluh malam terakhir Ramadan. Sebagai stesen penyiaran Islam negara, TV AlHijrah komited menyediakan pengisian rohani yang bermanfaat, membantu umat Islam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan ibadah, tadabbur al-Quran, dan perkongsian ilmu, di mana sahaja mereka berada.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, sepuluh malam terakhir Ramadan adalah kemuncak ibadah sepanjang bulan yang tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja.
“Fenomena yang kita lihat setiap tahun amat jelas. Masyarakat mula terpesona dengan persiapan Aidilfitri, lagu raya berkumandang lebih awal, dan fokus mereka beralih kepada pulang ke kampung atau bazar Ramadan. Dalam suasana ini, ramai mudah terlupa tentang detik paling berharga Ramadan iaitu sepuluh malam terakhirnya, di mana tersembunyi Lailatul Qadar. Lailatul Qadar bukan sekadar malam istimewa, tetapi malam yang ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan,” kata beliau.
Melalui rangkaian program khas ini, TV AlHijrah berharap masyarakat terdorong untuk memperbanyakkan ibadah, doa, dan tadabbur al-Quran. Antara pengisian utama termasuk:
- Nuzul al-Quran (7 Mac) – Mengimbau peristiwa turunnya al-Quran, menampilkan penghayatan mukjizat al-Quran serta perbincangan ilmiah mengenai peranannya dalam kehidupan umat Islam.
- Malam Seribu Bulan (10 Mac) – Fokus kepada keistimewaan malam Lailatul Qadar dengan bacaan al-Quran oleh qari terkenal dan perkongsian ilmuwan. Disiarkan setiap malam jam 11 malam (Isnin–Jumaat) dan 10 malam (Sabtu–Ahad).
- Ramadan Quran Hour (11 Mac) – Dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang, memberi ruang mendekati al-Quran melalui bacaan, tadabbur, dan penghayatan ayat-ayat suci.
- Khatam Ramadan Mualaf (13 Mac) – Menyorot perjalanan rohani saudara baharu dalam mendekati al-Quran dan pengalaman mereka menghayati Ramadan dengan penuh kesyukuran.

Selain siaran televisyen, TV AlHijrah turut memperluas penyampaian dakwah melalui platform digital seperti Langit Dakwah dan TikTok Berita AlHijrah, termasuk siaran langsung Solat Tarawih dari masjid ke masjid. Masyarakat juga boleh menyertai program Wakaf Media, menyumbang kepada pembangunan kandungan dakwah berterusan di lokasi terpilih.
“Sepuluh malam terakhir Ramadan adalah masa yang sangat berharga. Saya berharap masyarakat dapat menjadikan detik ini sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperbanyakkan amal ibadah, dan memanfaatkan setiap malam dengan penuh kesungguhan,” tambah Namanzee.
Orang ramai boleh mengikuti pelbagai pengisian istimewa ini melalui siaran TV AlHijrah, platform digital rasmi stesen, serta AlHijrah Plus Apps, membolehkan penonton menonton program secara live streaming atau mengulang siaran mengikut keselesaan masing-masing sepanjang sepuluh malam terakhir Ramadan.
