WhatsApp-Image-2026-04-18-at-7.25.24-PM-629x420

KUALA LUMPUR –  Seramai 284 jemaah haji Malaysia selamat menjejakkan kaki di bumi Madinah sebagai kumpulan pertama (KT01) bagi musim haji 1447H/2026M.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada pukul 8.21 pagi (waktu tempatan) menandakan bermulanya perjalanan suci sebagai tetamu Allah setelah melalui penantian, persediaan dan doa yang panjang.

Jemaah kumpulan pertama ini menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang berlepas dari KLIA pada pukul 4.09 pagi waktu Malaysia tiba di Hotel Emaar Royal, Madinah pada kira-kira 9.45 pagi (waktu tempatan).

Ketibaan rombongan jemaah disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman bersama Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Ridzuan Wahi dan Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi, barisan pengurusan kanan dan petugas Tabung Haji (TH).

WhatsApp-Image-2026-04-18-at-7
Syed Mohamad Bakri (dua dari kanan) menyambut ketibaan jemaah haji KT001 di Emaar Royal Hotel, Madinah.

Menurut Syed Mohamad Bakri, segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin merakamkan rasa syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah. Ini adalah hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta komitmen berterusan TH dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.

“Saya juga melihat petugas TH komited memastikan setiap jemaah bukan sahaja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing untuk mencapai haji yang mabrur, insya-Allah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi segala panduan dan arahan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.

Sepanjang enam hari di Madinah, para jemaah akan mengikuti program yang telah diatur termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Madinah.

Terdapat dua lagi penerbangan kumpulan jemaah haji akan tiba di Madinah pada hari ini iaitu KT02 seramai 284 orang jemaah, dijangka tiba pada jam 2.10 petang dan KT03 seramai 357 orang pada jam 9.10 malam waktu tempatan.

Operasi Haji 1447H/2026M yang telah bermula secara rasmi hari ini akan membawa kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia bagi menunaikan ibadah haji secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines. 

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading