WhatsApp Image 2026-04-24 at 18.39.14

JOHOR BAHRU – Permintaan tinggi terhadap kediaman mampu milik terus menjadi pemacu utama kejayaan projek hartanah apabila pembangunan Tampoi Heights mencatatkan hampir 98 peratus jualan walaupun belum siap sepenuhnya.

Projek yang dibangunkan oleh BMG Global Sdn. Bhd. itu diraikan menerusi majlis topping out sebagai tanda kemajuan pembinaan yang telah mendahului jadual asal.

Pengarah Eksekutif BMG Global Sdn. Bhd., Sakeri Maming

Pengarah Eksekutifnya, Sakeri Maming berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pembeli terhadap projek berkenaan serta keperluan mendesak terhadap perumahan berkualiti pada harga berpatutan.

“Projek ini bermula pada September 2023 dan kini menunjukkan kemajuan lebih awal daripada perancangan. Ia dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

“Hampir semua unit telah terjual, membuktikan bahawa penawaran kediaman yang seimbang antara harga dan kemudahan sangat diperlukan, khususnya di Johor,” katanya.

Menurut beliau, fokus syarikat adalah menyediakan peluang pemilikan rumah kepada rakyat tempatan tanpa mengabaikan aspek keselesaan dan gaya hidup moden.

Dengan Nilai Pemajuan Kasar (NPK) sekitar RM400 juta, Tampoi Heights merangkumi 877 unit pangsapuri perkhidmatan dalam tiga blok setinggi 26 dan 27 tingkat, selain dilengkapi enam tingkat parkir berpodium.

Pembangunan tersebut turut menawarkan empat unit lot kedai serta pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, gelanggang futsal dan pickleball, serta taman permainan kanak-kanak.

Ditawarkan pada harga bermula RM323,000, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dengan pilihan keluasan Type A (805 kaki persegi) dan Type B (950 kaki persegi).

Ketua Pegawai Operasi BMG Global, Ir. Loke Yan Wai

Ketua Pegawai Operasi BMG Global, Ir. Loke Yan Wai berkata, pendekatan syarikat adalah menyediakan kemudahan setaraf kondominium walaupun projek ditawarkan pada harga apartmen.

“Penduduk bukan sahaja memiliki rumah, tetapi turut menikmati gaya hidup yang lebih berkualiti melalui kemudahan lengkap seperti taman landskap dan kolam renang.

“Malah, setiap unit dilengkapi lantai berlamina bagi memberikan sentuhan lebih eksklusif,” jelasnya.

Sejak ditubuhkan pada 2005, BMG Global Sdn. Bhd. telah membina reputasi sebagai pemaju hartanah berstatus Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) dengan kepakaran lebih 20 tahun dalam industri.

Syarikat itu turut memberi penekanan kepada pembangunan tenaga kerja mahir serta amalan inovasi dan kerjasama bagi memastikan kualiti projek sentiasa berada pada tahap terbaik.

Dalam perkembangan sama, BMG Global kini memperluaskan portfolionya ke Sabah menerusi beberapa projek bernilai keseluruhan sekitar RM1 bilion, termasuk pembangunan kondominium eksklusif Solaris Suites di Jalan Tuaras, Likas.

Selain itu, syarikat tersebut turut melaksanakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) Starloft Residence di Batu Muda, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan RM696 juta.

Projek yang dilancarkan pada April 2025 itu bakal menyediakan 1,996 unit apartmen lengkap dengan pelbagai kemudahan komuniti seperti kolam renang, kawasan riadah, gelanggang sukan, trek joging dan taman landskap.

Dengan harga bermula RM300,000, Starloft Residence disasarkan untuk meningkatkan akses kepada pemilikan rumah serta kualiti hidup masyarakat bandar.

Secara keseluruhan, kejayaan Tampoi Heights membuktikan bahawa gabungan harga mampu milik, kemudahan moden dan lokasi strategik terus menjadi faktor utama dalam menarik minat pembeli di pasaran hartanah semasa.

Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan tentang projek Tampoi Heights atau projek pembangunan hartanah oleh BMG Global Sdn. Bhd. Boleh melawat ke portal facebook (https://www.facebook.com/Bmgglobalsdnbhd)

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading