TB_Yuneswaran Ramaraj__FB Yuneswaran Ramaraj__0

PUTRAJAYA – Tindakan ikhlas membantu tanpa mengharapkan balasan membawa tuah kepada dua individu, Mohd Yusof Mohd Noor atau dikenali sebagai “Abang Minyak Hitam Jalanan”, dan Dicky apabila mereka menerima pengiktirafan khas Sahabat Perpaduan MADANI.

Pengiktirafan itu diberikan oleh Kementerian Perpaduan Negara sebagai tanda penghargaan terhadap nilai kemanusiaan, keikhlasan serta semangat perpaduan yang ditonjolkan oleh kedua-dua individu berkenaan. Penyampaian anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran.

Menurut kenyataan kementerian, kisah Mohd Yusof menjadi tular selepas beliau membantu Dicky yang berdepan kesulitan apabila motosikalnya rosak di jalanan. Lebih menyentuh hati, bantuan itu diberikan tanpa sebarang bayaran selepas beliau mendapati keadaan kewangan Dicky yang terhad.

Yuneswaran berkata, tindakan tersebut mencerminkan nilai ihsan dan membuktikan bahawa perpaduan sebenar tidak hanya terletak pada slogan atau dasar, sebaliknya dizahirkan melalui perbuatan kecil yang lahir daripada keikhlasan.

“Apa yang ditunjukkan oleh mereka adalah cerminan masyarakat Malaysia yang saling membantu tanpa mengira latar belakang, kaum, agama atau status sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan Sahabat Perpaduan MADANI diberikan kepada individu biasa yang melakukan perkara luar biasa demi kesejahteraan masyarakat serta keharmonian negara.

Kisah dua individu ini sebelum ini mendapat perhatian meluas di media sosial apabila interaksi mereka dalam satu video menyentuh hati ramai rakyat Malaysia, sekali gus menjadi simbol perpaduan yang hidup dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan Negara berharap kisah berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada rakyat untuk terus menyemai budaya saling membantu dan menghormati antara satu sama lain.

Pengiktirafan tersebut juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kebersamaan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk, agar semangat perpaduan terus kukuh dalam kehidupan harian rakyat negara ini.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading