PETALING JAYA – Sandoz Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Sunway Medical Centre (SMC) bagi memperluaskan kesedaran serta akses terhadap rawatan biosimilar untuk pesakit kanser limfoma di negara ini.
Kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu akan memberi fokus kepada pendidikan pesakit, advokasi penggunaan biosimilar dan pengukuhan amalan klinikal dalam rawatan limfoma sehingga hujung tahun ini.
Ketua Sandoz Malaysia, Singapura dan Brunei, Christine Chong berkata, inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan dalam kalangan profesional kesihatan serta pesakit terhadap penggunaan biosimilar sebagai alternatif rawatan berkesan dan lebih mampu milik.
Menurut beliau, rawatan limfoma ketika ini banyak bergantung kepada terapi biologik yang lazimnya melibatkan kos tinggi, sekali gus memberi cabaran kepada pesakit untuk meneruskan rawatan secara konsisten.
“Biosimilar mampu menawarkan keberkesanan dan tahap keselamatan yang setanding dengan terapi biologik asal, selain membantu mengurangkan beban kos rawatan serta meningkatkan akses pesakit kepada terapi moden,” katanya pada majlis menandatangani MoU di Bandar Sunway hari ini.
Beliau berkata, kerjasama tersebut juga bakal melibatkan pelaksanaan pelbagai program kesedaran awam, forum pendidikan serta simposium perubatan berkaitan rawatan limfoma dan penggunaan biosimilar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Dr. Seow Vei Ken berkata, kolaborasi bersama pemain industri global seperti Sandoz penting bagi memastikan institusi kesihatan tempatan terus berada di hadapan dalam inovasi perubatan.
Katanya, penggunaan biosimilar kini menjadi antara pendekatan penting dalam sistem penjagaan kesihatan moden kerana ia membantu memperluaskan pilihan rawatan kepada pesakit tanpa menjejaskan keberkesanan terapi.
“Pesakit perlu diberi pendedahan dan keyakinan terhadap rawatan baharu seperti biosimilar kerana teknologi ini berpotensi meningkatkan akses kepada terapi yang lebih berkualiti dan berpatutan,” ujarnya.
Di Malaysia, limfoma merupakan antara kanser darah yang paling kerap dilaporkan dengan lebih 2,000 kes baharu direkodkan setiap tahun. Kebanyakan pesakit pula dikesan pada peringkat lewat, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap rawatan yang lebih mudah diakses dan berkesan.
Biosimilar ialah produk biologi yang dibangunkan hampir serupa dengan ubat biologik asal dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan, namun ditawarkan pada kos lebih rendah bagi membantu memperluaskan akses rawatan kepada pesakit.
