A321neo Aircraft

Kuala Lumpur – Scoot, anak syarikat tambang murah Singapore Airlines (SIA), hari ini mengumumkan tempahan muktamad untuk lima pesawat Airbus keluarga A320neo. Syarikat penerbangan ini turut melaksanakan hak pembelian tambahan enam pesawat daripada tempahan tahun 2014 dengan Airbus. Penyerahan pesawat baharu akan dilakukan secara berperingkat mulai tahun 2028.

Dengan 11 pesawat tambahan ini yang dikuasakan oleh enjin Pratt & Whitney PW1100G-JM (GTF), jumlah keseluruhan tempahan Scoot bagi pesawat keluarga A320neo akan meningkat kepada 20 pesawat.

Pesawat baharu ini akan dilengkapi dengan 186 tempat duduk bagi A320neo dan 236 tempat duduk bagi A321neo, kedua-duanya dalam susunan satu kelas kabin. Penambahan pesawat keluarga A320neo akan meningkatkan kapasiti serta fleksibiliti penempatan laluan dalam radius penerbangan lima hingga enam jam, sekaligus membolehkan Scoot melancarkan perkhidmatan baharu dan mengoptimumkan capaian kepada rangkaian luas kumpulan SIA. Keupayaan ini akan memperluas sambungan udara antara Singapura dengan Asia Tenggara, Asia Barat dan rantau lain, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan global terkemuka. Pertumbuhan ini turut mencerminkan keyakinan bagi unjuran permintaan jangka masa panjang perjalanan udara,
khususnya di rantau Asia Pasifik.

Selama bertahun-tahun, Scoot berjaya mengembangkan kedua-dua armada serta rangkaian penerbangan secara berterusan dan stabil, di samping mengukuhkan hubungan dengan pasaran utama melalui peningkatan kekerapan penerbangan bagi laluan berpermintaan tinggi serta meningkatkan trafik bagi laluan baharu. Sejak tahun kewangan 2022/2023, Scoot telah memperkukuh hubungan rangkaian kumpulan SIA dengan 25 destinasi baharu, termasuk bandar bukan metropolitan yang sedang pesat membangun seperti Chiang Rai, Thailand dan Phu Quoc, Vietnam, serta destinasi jarak jauh Vienna, Austria. Di antara destinasi baharu ini, 16 dioperasikan secara eksklusif oleh Scoot dari Singapura.

Menjelang Jun 2026, Scoot bakal berkhidmat ke 85 destinasi yang merangkumi kira-kira separuh daripada destinasi yang kini dihubungkan oleh Singapura melalui Lapangan Terbang Changi. Daripada jumlah tersebut, 37 destinasi dioperasikan secara eksklusif oleh Scoot, menekankan peranan Scoot dalam membuka laluan terus antara bandar baharu serta merangsang aliran trafik yang mungkin sebaliknya kekal kurang mendapat perhatian.

Leslie Thng, Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, berkata: “Kami menjangkakan permintaan perjalanan akan terus berkembang khususnya di rantau Asia Pasifik bagi tahun-tahun akan datang. Kemampuan jarak penerbangan dan kapasiti pesawat keluarga A320neo membolehkan Scoot untuk berkembang dan memperkukuhkan rangkaian Kumpulan SIA, memberikan Kumpulan SIA
peluang pertumbuhan baharu dan menawarkan penumpang dengan lebih pilihan perjalanan.”

“Kepelbagaian pesawat milik Scoot yang merangkumi pesawat serantau Embraer E190-E2, pesawat berbadan tirus Airbus keluarga A320 serta pesawat berbadan lebar Boeing 787 memberi kami keupayaan untuk mengoperasikan rangkaian penerbangan yang luas. Ini meliputi laluan jarak dekat, sederhana dan jauh yang melengkapi rangkaian luas SIA, sekaligus mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai hab penerbangan global terkemuka,” tambahThng.

Scoot kini mengoperasikan armada sebanyak 63 pesawat yang terdiri daripada 24 pesawat berbadan lebar Boeing 787 Dreamliners (termasuk variasi -8 dan -9), 30 pesawat keluarga A320 (enam A320ceo, 12 A320neo dan 12 A321neo) serta sembilan pesawat Embraer E190-E2. Sebagai sebahagian daripada langkah program pembaharuan armada dan usaha meningkatkan kecekapan operasi, Scoot merancang untuk menamatkan perkhidmatan enam pesawat A320ceo menjelang tahun 2028.

Pengoperasian armada baharu dan moden merupakan antara langkah penting bagi syarikat penerbangan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon. Pengoperasian armada baharu dan moden merupakan antara langkah penting bagi syarikat penerbangan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon. Sejak tahun 2024, Scoot telah memperkenalkan pesawat serantau Embraer E190-E2 yang merupakan antara pesawat paling senyap dan paling cekap bahan api ke dalam armadanya. Pada tahun kewangan 2025/2026, Scoot telah menggantikan lapan A320ceo dengan A320neo dan A321neo generasi baharu. Pesawat keluarga A320neo mampu mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 20%, sekaligus membantu mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong matlamat Kumpulan SIA untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading