Rusia – Pemilikan limosin mewah Aurus Senat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, disifatkan sebagai simbol persahabatan kukuh dan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dengan Persekutuan Rusia.
Kenderaan eksklusif itu dilaporkan jarang dimiliki di luar Rusia dan tidak dipasarkan secara meluas di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadikan pemilikannya sebagai satu penghormatan istimewa kepada Seri Paduka Baginda.
Jenama Aurus turut dikenali sebagai kenderaan rasmi kepimpinan tertinggi Rusia dan sering digunakan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, dalam acara rasmi negara serta majlis diplomatik penting. Selain reka bentuk mewah, model berkenaan terkenal dengan gabungan teknologi moden dan ciri keselamatan bertaraf tinggi.

Majlis penyerahan limosin tersebut berlangsung di Muzium Garaj Khas di Moscow, yang menempatkan lebih 50 koleksi unik kereta dan motosikal. Dalam lawatan itu, Sultan Ibrahim turut diberi taklimat mengenai sejarah dan koleksi yang dipamerkan di muzium berkenaan.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Moscow adalah atas jemputan khas kerajaan Rusia sempena sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei, sekali gus memperlihatkan hubungan dua hala yang semakin kukuh antara kedua-dua negara.
