Kuala Lumpur – Industri perfileman tempatan terus meriah tahun ini menerusi kemunculan filem aksi-drama terbaharu berjudul The Furious: Pertaruhan Maruah yang mengetengahkan elemen pertarungan tinju, konflik kekeluargaan serta tema maruah, dendam dan pengorbanan dalam sebuah naratif penuh intensiti.
Filem tersebut dipersembahkan menerusi kerjasama beberapa penerbit utama iaitu ACT 2 Pictures Sdn. Bhd., Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan SunStrong Entertainment dengan sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia. Pengedaran rasmi filem pula dikendalikan oleh GSC Movies.

Menariknya, filem ini merupakan debut pertama pengarah baharu, Heng Aik Siong yang sebelum ini berpengalaman sebagai pembantu pengarah kepada pengarah terkenal, Adrian Teh.
Menerusi filem ini, mereka membawa visi filem aksi tempatan yang bukan sahaja memaparkan pertarungan fizikal di gelanggang tinju, malah menyentuh pertarungan emosi dalam hubungan kekeluargaan yang rapuh.
The Furious: Pertaruhan Maruah menampilkan Zul Ariffin sebagai teraju utama bersama Sky Iskandar, Ikmal Amry, Sandra Lim, Zamarul Hisham dan Marisa Yasmin.
Filem ini mengisahkan dua beradik yang kembali bersatu selepas maruah keluarga mereka tercalar apabila nama arwah bapa mereka dihina secara terbuka, sekali gus mencetuskan perjalanan penuh konflik antara maruah dan dendam.

Sementara itu, malam gala filem berkenaan berlangsung meriah pada 19 Mei lalu di GSC Mid Valley Megamall dengan kehadiran rakan media, penggiat industri hiburan serta barisan pelakon yang memeriahkan tayangan perdana tersebut.
Dengan gabungan aksi tinju yang realistik, drama kekeluargaan yang dekat dengan jiwa penonton serta emosi yang kuat, filem ini dijangka menjadi antara karya aksi tempatan paling mencuri perhatian tahun ini.
The Furious: Pertaruhan Maruah bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026.
