KUALA LUMPUR – Skycourts Kuala Lumpur memperkenalkan empat gelanggang baharu pickleball dan padel yang dibuka di aras sembilan Perdana KLCC, sekali gus menambah pilihan sukan rekreasi di tengah ibu negara.
Pembukaan fasiliti itu dilihat sebagai satu pencapaian baharu dalam perkembangan sukan urban di Kuala Lumpur, yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bandar.
Dengan lokasi di tingkat tinggi, pengunjung berpeluang menikmati pengalaman bermain sukan raket moden dalam suasana terbuka yang menawarkan pemandangan langit serta landskap bandar raya.
Inisiatif tersebut turut mengukuhkan lagi kedudukan Perdana KLCC sebagai antara lokasi tumpuan gaya hidup dan aktiviti riadah di pusat bandar, seiring dengan peningkatan minat terhadap sukan seperti pickleball dan padel.
Kemudahan berkenaan menawarkan ruang riadah dengan suasana eksklusif di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur selain memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung yang mahu mengisi masa lapang bersama keluarga dan rakan-rakan.
Selain menjadi lokasi sukan santai, gelanggang tersebut turut dijangka menjadi platform untuk mengembangkan komuniti pickleball dan padel yang kini semakin berkembang di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sports Town Sdn Bhd
Pengurus Besar Perdana KLCC, Zakaria Ismail berkata kolaborasi bersama Skycourts Kuala Lumpur mencerminkan komitmen pihaknya dalam meningkatkan pengalaman pengunjung dan komuniti di kawasan tersebut, selain menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan aktif.
Menurut beliau, fasiliti berkenaan menawarkan pengalaman sukan dan sosial urban yang lengkap di tengah bandar dengan kemudahan termasuk dua gelanggang pickleball, dua gelanggang padel, bilik persalinan, surau serta kafe.
“Kerjasama dengan Skycourts Kuala Lumpur mencerminkan komitmen kami dalam mempertingkatkan pengalaman tetamu dan komuniti di Perdana KLCC secara keseluruhan dengan menyokong gaya hidup yang lebih sihat dan aktif,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi gelanggang tersebut.
Zakaria turut memaklumkan kadar sewaan gelanggang pickleball ditetapkan pada RM50 sejam bagi waktu puncak dan RM40 sejam bagi waktu bukan puncak.


Bagi gelanggang padel pula, kadar sewaan adalah RM160 sejam pada waktu puncak dan RM140 sejam pada waktu bukan puncak.
Perdana KLCC turut menawarkan suite dua dan tiga bilik tidur yang sesuai untuk keluarga serta kumpulan rakan, dilengkapi kemudahan seperti dapur kecil, kolam renang, taman permainan kanak-kanak serta pelbagai pilihan bufet sarapan pagi.
Dalam masa sama, tetamu juga boleh menikmati akses mudah ke pusat beli-belah serta restoran sekitar, menjadikan lokasi tersebut sesuai untuk perjumpaan, aktiviti santai dan percutian di tengah bandar.
Trend pickleball dan padel ketika ini terus menunjukkan peningkatan apabila semakin banyak fasiliti berkaitan dibuka khususnya di sekitar Lembah Klang susulan permintaan yang semakin tinggi daripada orang ramai.
