KUALA LUMPUR – Honor telah memperkenalkan telefon pintar boleh lipat mercu tanda terbaharunya, Magic V6, yang menampilkan skrin dalaman berukuran 7.95 inci serta skrin penutup luaran 6.52 inci, dengan kedua-duanya menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz. Kedua-dua skrin peranti ini juga menggunakan teknologi AMOLED.
Magic V6 dilengkapi dengan sistem tiga kamera yang terdiri daripada kamera utama sudut lebar 50 megapiksel, sensor telefoto periskop 64 megapiksel, dan kamera ultra lebar 50 megapiksel. Selain itu, ia turut mempunyai dua kamera swafoto sudut lebar 20 megapiksel jenis lubang tebuk (hole-punch), yang ditempatkan pada skrin dalaman dan luaran.

Peranti ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti 6,660mAh, yang menyokong pengecasan berwayar 80W dan pengecasan tanpa wayar 66W, serta dipacu oleh pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5.
Antara ciri lain yang ditawarkan termasuk penarafan ketahanan air dan habuk IP68 serta IP69, pengimbas cap jari yang dipasang pada sisi peranti, dan kesan lipatan pada skrin utama yang lebih halus berbanding generasi sebelumnya. Magic V6 juga menyokong integrasi dengan ekosistem Apple, membolehkan perkongsian fail, mesej dan paparan skrin, serta pelbagai fungsi lain.
Salah satu fokus utama Honor pada telefon boleh lipat ini ialah ketahanan, dengan Magic V6 menampilkan engsel yang dipertingkatkan serta paparan yang lebih tahan calar bagi kedua-dua skrin dalaman dan luaran.

Bercakap mengenai skrin, telefon boleh lipat ini turut dilengkapi dengan ciri pintasan yang dinamakan Fast-Flex, yang direka untuk memudahkan multitugas (multitasking).

Pengguna hanya perlu melipat peranti secara separa dan kemudian membukanya semula. Selepas itu, peranti akan secara automatik bertukar kepada mod skrin berpecah (split screen), dengan aplikasi utama dipaparkan pada satu bahagian skrin manakala aplikasi kedua, seperti pembantu kecerdasan buatan (AI) contohnya Google Gemini, dipaparkan pada bahagian yang satu lagi.

Dari segi storan dan memori, Honor Magic V6 ditawarkan dalam dua pilihan konfigurasi:
- 16GB RAM + 512GB storan dalaman pada harga RM7,699
- 16GB RAM + 1TB storan dalaman pada harga RM8,899


Kedua-dua varian ini menawarkan kapasiti memori yang besar untuk menyokong penggunaan pelbagai aplikasi, multitugas yang lancar, serta penyimpanan fail, foto dan video dalam jumlah yang banyak.

Pilihan warna yang ditawarkan bagi Honor Magic V6 termasuk Ferghana Red (warna ikonik atau identiti utama peranti ini), Classic Black, Sunrise Gold, dan Ivory White.
Pembeli terawal juga layak menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM3,797 bermula hari ini hingga 11 Jun, termasuk sebuah TV Skyworth Google TV 43 inci.
Honor MagicPad 4
Turut dilancarkan hari ini ialah Honor MagicPad 4, sebuah tablet yang menampilkan dua sistem operasi: platform berasaskan Android yang biasa digunakan serta persekitaran berasaskan Linux yang direka untuk produktiviti gaya desktop.

Antara ciri lain yang disertakan termasuk sokongan terbina dalam untuk ejen AI OpenClaw AI, fungsi memo AI untuk merekod minit mesyuarat dan mencatat nota, penulisan semula serta ringkasan kandungan secara automatik, selain keserasian dengan ekosistem Apple.

MagicPad 4 ditawarkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Kelabu (Grey), dengan dua konfigurasi memori dan storan:
- 12GB RAM + 256GB storan dalaman – RM3,399
- 16GB RAM + 512GB storan dalaman – RM3,999
