WhatsApp Image 2026-07-07 at 09.27.32

KUALA KANGSAR – Tiga varieti durian premium yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), iaitu MARDI Super 88 (MS88), MDUR78 dan MDUR79, terus mendapat tempat dalam kalangan penggemar durian tempatan sejak diperkenalkan lebih dua dekad lalu.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, ketiga-tiga varieti berkenaan bukan sahaja menawarkan rasa yang berkualiti, malah turut mencatat prestasi memberangsangkan dari aspek hasil pengeluaran serta kesesuaiannya untuk diusahakan oleh pekebun tempatan.

Menurut beliau, MARDI terus memperluaskan penanaman varieti hibrid tersebut bagi meningkatkan bekalan durian tempatan dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.

“Kita ada kira-kira tiga hibrid yang sedang dalam ‘pipeline’.

“Pokoknya sudah matang, namun kita mahu memastikan hasil pengeluaran mencukupi sebelum diisytiharkan sebagai klon baharu.

“Kita tidak mahu melancarkan varieti baharu sekiranya pengeluaran buah masih terhad kerana orang ramai juga mahu merasai sendiri buah berkenaan,” katanya.

Sehingga kini, di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sekitar 25,000 pokok durian MS88 telah ditanam di seluruh negara melibatkan kawasan hampir 242 hektar. Kawasan penanaman terbesar tertumpu di Melaka, Selangor serta beberapa negeri di Pantai Timur.

Beliau menjelaskan, pertambahan keluasan tanaman dijangka meningkatkan pengeluaran durian negara pada masa depan, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk menembusi pasaran eksport.

Dalam perkembangan sama, MARDI kini sedang menjalankan penilaian akhir terhadap tiga lagi varieti durian hibrid baharu sebelum diperkenalkan kepada pasaran. Proses tersebut penting bagi memastikan setiap varieti mampu menghasilkan pengeluaran yang konsisten dan sesuai untuk dikomersialkan.

Mohamad Zabawi berkata demikian ketika ditemui pada program Duriotourism MARDI Kuala Kangsar bersama media yang berlangsung di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar pada Ahad.

Menyentuh mengenai musim durian tahun ini, beliau berkata, beberapa stesen MARDI termasuk di Kuala Kangsar, Jerangau, Sintok dan Jelebu merekodkan peningkatan hasil berbanding musim lalu.

“Selain faktor cuaca, pokok durian yang ditanam sekitar lima hingga enam tahun lalu termasuk varieti M288, juga sudah mula mengeluarkan hasil dan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran musim ini,” tambahnya.

Menurutnya, keadaan cuaca menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan tersebut apabila cuaca panas pada awal musim merangsang pembungaan pokok, sebelum disusuli hujan yang membantu proses pembentukan buah.

Selain meningkatkan pengeluaran, MARDI turut membangunkan teknologi penyimpanan kriogenik yang mampu memanjangkan tempoh hayat durian antara tiga hingga enam bulan tanpa menjejaskan rasa asal buah.

“Teknologi ini juga digunakan untuk buah-buahan lain seperti nangka dan berpotensi dimanfaatkan syarikat yang ingin menyimpan atau mengeksport buah dalam tempoh lebih lama,” katanya.

Walaupun teknologi berkenaan masih digunakan secara dalaman oleh MARDI untuk penyimpanan durian dan nangka, beliau melihat ia berpotensi dimanfaatkan oleh pihak industri dan syarikat berkaitan, khususnya bagi tujuan penyimpanan jangka panjang serta memperkukuh aktiviti eksport buah-buahan tempatan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading