KUALA LUMPUR – Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris diumumkan sebagai penyanyi undangan pada Konsert Tradisional Gema Bumantara Datuk Seri Siti Nurhaliza di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Oktober depan.
Pengumuman tersebut mengakhiri teka-teki mengenai artis yang bakal berkongsi pentas bersama Biduanita Negara itu pada persembahan tersebut yang dijangka dihadiri lebih 60,000 penonton.
Siti Nurhaliuza, 47, memberitahu pemilihan Noraniza, 58, dibuat kerana melihat usaha kuatnya yang terus memperjuangkan irama Malaysia sehingga ke hari ini.
“Noraniza seorang yang saya hormati dan dia kena ada bersama saya pada konsert ini. Syukur dia sudi terima lamaran saya untuk sama-sama terlibat untuk konsert ini,” katanya pada sidang media konsert itu di sini hari ini.
Selain Noraniza, artis lain yang turut diundang menjayakan persembahan Gema Bumantara ialah Haziq Rosebi, Lesti Kejora dan King Nassar dari Indonesia.
Konsert Gema Bumantara bakal diadakan di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 Oktober depan di man pengarah muzik pada konsert tradisional berskala mega menjadi oleh Mohamad Sharhan Syazwan Mohd. Ashri atau Chaan

Pementasan Gema Bumantara bakal mengangkat tema muzik tradisional Melayu dan Nusantara dalam skala mega dan dijadual berlangsung dalam suasana penuh warna-warni budaya Nusantara.
Siti Nurhaliza, 47, dan Noraniza, 58, merupakan dua penyanyi tanah air yang konsisten memperjuangkan lagu-lagu berkonsepkan irama tradisional sepanjangkan kerjaya seni mereka.
Kedua-dua penghibur tersohor itu juga pernah merakamkan album tradisional berjudul Seri Balas pada 1999 yang memuatkan lagu popular antaranya Hati Kama.
Album itu diterbitkan oleh komposer dan penggiat muzik ternama, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah dan diedarkan oleh syarikat rakaman Suria Records.
