KUALA LUMPUR – Keinginan seorang ibu untuk mendapatkan tudung yang sesuai dan bergaya buat anaknya menjadi pencetus kepada kelahiran jenama fesyen Muslimah baharu, Nadi Rafa Hijab.
Diasaskan Datin Siti Nadia, jenama berkenaan kini mengorak langkah dalam pasaran tempatan menerusi koleksi bertemakan ‘Ibu dan Anak’ (Mother & Daughter) yang mengetengahkan konsep sedondon, selesa dan berkualiti pada harga yang lebih mesra pengguna.
Menurut Siti Nadia, idea tersebut tercetus daripada pengalaman sendiri apabila berdepan kesukaran mendapatkan tudung yang sesuai untuk anaknya yang berbadan kecil, selain mempunyai rekaan yang mengikuti trend semasa.

“Daripada situ timbul idea untuk menghasilkan jenama ini. Kami mahu anak-anak perempuan tampil sedondon dan sama cantik dengan ibu mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis soft launch Nadi Rafa Hijab di Stadium UPNM, hari ini.
Koleksi berkenaan merangkumi pelbagai pilihan tudung termasuk bawal, shawl dan tudung instant yang dihasilkan menggunakan fabrik seperti Tencel, chiffon dan cotton.
Antara koleksi yang diketengahkan ialah Cotton Square dan Wafa Cotton Shawl, masing-masing hadir dalam pilihan warna lembut seperti Dusty Blue, Dusty Pink, Dusty Lavender, Oatmeal, Mocha dan Coffee Latte.
Menariknya, lebih 10,000 stok tudung disediakan bagi fasa pelancaran awal dengan harga promosi bermula serendah RM25 hingga RM38.
Siti Nadia berkata, strategi Nadi Rafa Hijab bukan sekadar menawarkan rekaan menarik, sebaliknya memberi penekanan terhadap kualiti supaya produk premium dapat dimiliki oleh lebih ramai pengguna.
“Objektif utama kami adalah untuk bersaing menerusi kualiti. Kami menawarkan kualiti produk premium tetapi pada julat harga marhaen supaya semua golongan mampu memilikinya,” katanya.

Majlis soft launch turut dimeriahkan kehadiran selebriti tanah air, Heliza Helmi selaku pengacara dan artis jemputan, selain persembahan padang membabitkan pelajar serta guru Sekolah Rendah Integrasi (SRI) Puncak Jalil bagi memperlihatkan aspek keselesaan tudung ketika melakukan aktiviti aktif.
Selain pembelian secara dalam talian menerusi TikTok, Instagram dan laman web rasmi, pelanggan turut boleh mendapatkan produk Nadi Rafa Hijab di butik fizikalnya di Lestari Perdana.
Bagi mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri, Nadi Rafa Hijab merancang mengadakan grand launch pada 6 Disember depan di Marriott Putrajaya.
Jenama itu turut merancang memperluaskan rangkaian produknya dengan memperkenalkan koleksi tudung serta pakaian sekolah pada masa akan datang.
