IMG_20260814_164123

Kuala Lumpur – Populariti pickleball yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat kini turut membuka ruang baharu buat golongan selebriti untuk mendekati komuniti menerusi aktiviti yang lebih santai, aktif dan interaktif.

Pendekatan itu diterjemahkan menerusi Celebrity Showdown Tournament, sebuah kejohanan yang menghimpunkan 56 selebriti tanah air dalam satu gelanggang sempena sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

Dianjurkan 88 House of Event bersama Everxon Sdn Bhd, program berkenaan bukan sekadar memberi tumpuan kepada persaingan merebut hadiah wang tunai RM10,000, malah membawa elemen hiburan dan hubungan sesama penggiat industri.

Bakal berlangsung di Tomaz Pickleball Club, Subang, acara itu menyaksikan selebriti daripada pelbagai latar dibahagikan kepada lapan pasukan yang diketuai kapten masing-masing.

Antara kapten yang terlibat ialah Adlin Aman Ramlie, Harris Anuar, Luqman Hafidz, Johan Raja Lawak, Sharif Zero, Hilmi Ashley, Dato’ AC Mizal dan Imran Aqil.

Menariknya, barisan pemain setiap pasukan hanya akan diketahui menerusi sesi undian pada hari kejohanan, sekali gus menambahkan elemen kejutan serta keseronokan kepada pertandingan.

Menurut Sharif, idea penganjuran tercetus daripada minat yang semakin meningkat terhadap pickleball dalam kalangan rakan-rakan selebriti.

Katanya, acara itu menjadi kesempatan untuk mereka berkumpul, melakukan aktiviti sihat dan pada masa sama mengeratkan hubungan sesama penggiat industri.

“Yang penting kita dapat berkumpul dan mengeratkan silaturahim sesama rakan industri. Dalam masa sama, kita dapat bersukan dan bersaing secara sihat,” katanya.

Antara nama yang dijangka mengambil bahagian termasuk Khairy Jamaluddin (KJ), Johan Raja Lawak, Sharif Zero, Dato’ AC Mizal, Adlin Aman Ramlie, Tomok dan Ayie daripada Floor 88.

KJ turut dijadualkan menyertai kejohanan berkenaan selain menyempurnakan pelancaran Celebrity Showdown.

Lebih daripada sekadar pertandingan, konsep Celebrity Showdown memperlihatkan bagaimana aktiviti sukan boleh menjadi jambatan untuk merapatkan hubungan antara selebriti, penggiat industri dan komuniti.

Ia juga mencerminkan perubahan trend acara hiburan masa kini yang tidak lagi bergantung kepada persembahan semata-mata, sebaliknya mengutamakan pengalaman, interaksi dan penyertaan secara langsung.

Dengan hadiah utama RM10,000 sebagai pencetus persaingan, nilai kebersamaan dan semangat kesukanan dijangka menjadi antara tarikan utama Celebrity Showdown.

Sekiranya mendapat sambutan, penganjur turut melihat potensi untuk menjadikan acara itu sebagai platform berkala yang dianjurkan setiap enam bulan atau setahun sekali.

Dalam perkembangan populariti pickleball yang semakin meluas, Celebrity Showdown secara tidak langsung membuka satu lagi ruang buat dunia hiburan mendekati masyarakat bukan dari atas pentas, tetapi bersama-sama mereka di gelanggang.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading