TikTok Shop Malaysia akan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 6 peratus terhadap caj penghantaran tertentu yang dikenakan kepada penjual di platform itu, berkuat kuasa 7 September 2026.
Langkah itu susulan perubahan entiti logistik TikTok Shop di Malaysia daripada Tokgistics Pte. Ltd. kepada TikTok Shop (Malaysia) Sdn. Bhd., yang akan berkuat kuasa pada 1 September 2026, jam 12 tengah malam waktu Malaysia.
Menurut kenyataan TikTok Shop, perubahan berkenaan menyebabkan layanan cukai bagi perkhidmatan berkaitan penghantaran dikemas kini bagi mematuhi keperluan percukaian Malaysia yang berkuat kuasa.
Tempoh peralihan enam hari
SST 6 peratus akan terpakai terhadap Actual Shipping Fee bagi perkhidmatan berkaitan penghantaran yang dikenakan kepada penjual di platform.
Perkhidmatan itu merangkumi logistik bagi penghantaran, pengedaran dan pengangkutan barangan, dokumen atau bungkusan melalui TikTok Shop.
Bagaimanapun, TikTok Shop akan menanggung SST tersebut bagi pihak penjual sepanjang tempoh peralihan bermula 1 September 2026, jam 12 tengah malam hingga 6 September 2026, jam 11.59 malam.
Penjual hanya akan mula dikenakan SST 6 peratus mulai 7 September 2026, jam 12 tengah malam, bagi perkhidmatan penghantaran yang terpakai.
Caj ditentukan berdasarkan masa pesanan
TikTok Shop menjelaskan caj penghantaran penjual ditentukan berdasarkan masa pesanan dibuat, bukannya masa pesanan dihantar atau diterima.
Oleh itu, pesanan yang dibuat pada atau sebelum 31 Ogos 2026, jam 11.59.59 malam, tidak akan dikenakan SST walaupun penghantarannya berlaku pada September 2026.
Bagi pesanan yang dibuat mulai 1 September 2026, polisi SST yang dikemas kini akan terpakai. Namun, penjual masih tidak akan dikenakan bayaran SST bagi pesanan yang dibuat antara 1 hingga 6 September kerana kos itu ditanggung TikTok Shop sepanjang tempoh peralihan.
Paparan dalam pecahan penyelesaian
Mulai 1 September 2026, jumlah yang dipaparkan di bawah caj berkaitan penghantaran dalam halaman Seller Settlement Breakdown akan merangkumi SST 6 peratus terhadap Actual Shipping Fee, jika berkenaan.
Formula pengiraan caj penghantaran penjual adalah seperti berikut:
Caj Penghantaran Penjual = Actual Shipping Fee, termasuk SST jika berkenaan – Diskaun Caj Penghantaran Platform – Caj Penghantaran Pelanggan
Ini bermakna, Actual Shipping Fee sebanyak RM3.00 akan menjadi RM3.18 selepas SST 6 peratus dikenakan. Jika diskaun penghantaran platform berjumlah RM3.00 dan caj penghantaran pelanggan ialah RM0, jumlah yang perlu ditanggung penjual menjadi RM0.18.
Apabila caj penghantaran pelanggan berjumlah RM2.00 dan diskaun penghantaran platform ialah RM1.00, jumlah caj penghantaran penjual juga meningkat daripada RM0 kepada RM0.18 selepas SST dikenakan.
Boleh meliputi caj pesanan tidak berjaya
TikTok Shop turut memaklumkan SST 6 peratus mungkin dikenakan terhadap Unsuccessful Order Fees, jika berkenaan.
Caj itu termasuk Forward Shipping Fee bagi penghantaran ke pelanggan dan Return Shipping Fee bagi pemulangan barangan.
Platform berkenaan menyatakan Caj Penghantaran Penjual tidak dinaikkan serta-merta. Sebaliknya, SST 6 peratus yang dikenakan kerajaan terhadap Actual Shipping Fee boleh menyebabkan jumlah akhir yang perlu dibayar penjual menjadi lebih tinggi bagi sesetengah pesanan.
