KUALA LUMPUR – Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali dengan edisi kedua yang lebih besar, membawa konsep makanan sebagai jambatan untuk menyatukan kepelbagaian budaya, seni dan gaya hidup rakyat Malaysia.
Berlangsung selama enam hari dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa, festival bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’ itu dianjurkan Raydiates Blue Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Festival Budaya Malaysia 2026, bersempena sambutan Hari Malaysia.
AMFF 2026 menghimpunkan lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen termasuk gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta aktiviti komuniti.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, AMFF tahun ini tidak lagi terhad kepada pengalaman menikmati makanan, sebaliknya diperluaskan sebagai sebuah festival gaya hidup yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara lebih dekat dengan budaya Malaysia.

Menurutnya, pendekatan itu selari dengan aspirasi AMFF untuk menjadikan makanan sebagai medium yang menghubungkan masyarakat dengan budaya dan identiti negara.
Festival kali ini menampilkan lima pengalaman utama iaitu Taste Malaysia, Move Malaysia, Style Malaysia, Play Malaysia dan Celebrate Malaysia, selain pelbagai pengisian termasuk Foodie Fiesta, demonstrasi masakan, Cultural Jam, persembahan tradisional dan kontemporari, aktiviti keluarga serta program kecergasan.
Antara acara kemuncak ialah Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert khas sempena Ambang Hari Malaysia, sebelum sambutan diteruskan pada 16 September menerusi SimplyFit Zumba Malaysia Day bersama aktiviti kecergasan, keluarga dan komuniti.

Lebih menarik, AMFF 2026 turut mempunyai kesinambungan di lokasi kedua apabila festival itu akan dibawa ke MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober sempena MySihat Expo 2026.
Edisi kedua AMFF sekali gus memperlihatkan usaha penganjur memperluaskan festival makanan kepada sebuah platform yang menghimpunkan gastronomi, budaya, kesihatan, kecergasan, hiburan dan komuniti dalam satu pengalaman yang lebih menyeluruh.
Pemilihan Taman Tasik Titiwangsa sebagai lokasi utama, AMFF 2026 dijangka menjadi antara acara yang memeriahkan sambutan Hari Malaysia sambil mengetengahkan kepelbagaian citarasa dan budaya masyarakat Malaysia.
