KUALA LUMPUR – Persediaan untuk mendapatkan cahaya mata bukan hanya bermula ketika pasangan mengambil keputusan untuk mencuba hamil, sebaliknya aspek kesihatan wajar diberi perhatian lebih awal.
Penjagaan kesihatan sebelum kehamilan atau pre-pregnancy health penting bagi membantu pasangan mengetahui tahap kesihatan masing-masing selain mengenal pasti faktor yang berpotensi mempengaruhi kesuburan.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam forum What Women Want: Before We Bloom – A Couple’s Guide to Pre-Pregnancy anjuran Parenthood Media dengan kerjasama Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL).

Forum yang berlangsung di MyTOWN, Atria Shopping Gallery, Kuala Lumpur itu mengetengahkan perbincangan berkaitan kesuburan, kesihatan hormon serta perkara yang perlu diberi perhatian sebelum pasangan merancang kehamilan.
Perbincangan berkenaan menampilkan Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Dr Raymond Lim serta Pakar Endokrinologi, Dr Lim Sue Wen dari Pantai Hospital Kuala Lumpur.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah perubahan tahap kesuburan mengikut usia serta beberapa masalah kesihatan yang berpotensi memberi kesan terhadap kesihatan reproduktif.
Menurut perkongsian pakar, keadaan seperti polyendocrine metabolic ovarian syndrome (PMOS), endometriosis, gangguan tiroid dan diabetes merupakan antara faktor yang perlu diberi perhatian.
Justeru, mengenal pasti tanda atau faktor risiko lebih awal serta mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan dapat membantu wanita memahami keadaan kesihatan reproduktif masing-masing dengan lebih baik.

Kesuburan bukan tanggungjawab wanita sahaja
Dalam masa sama, isu kesuburan tidak seharusnya dianggap sebagai masalah yang hanya melibatkan wanita.
Apabila pasangan berdepan kesukaran untuk mendapatkan zuriat, penilaian terhadap kedua-dua pihak boleh dipertimbangkan kerana faktor lelaki juga boleh menyumbang kepada masalah kesuburan.
Selain aspek reproduktif, beberapa faktor lain seperti berat badan, pemakanan, aktiviti fizikal, tekanan serta masalah kesihatan sedia ada turut mempunyai kaitan dengan kesihatan reproduktif dan kehamilan.
Perbincangan secara terbuka mengenai kesuburan juga penting supaya pasangan yang sedang melalui fasa trying to conceive (TTC) lebih memahami keadaan mereka dan tidak teragak-agak untuk mendapatkan bantuan profesional.
Dapatkan konsultasi bukan bermakna terus jalani IVF
Satu lagi persepsi yang sering dikaitkan dengan konsultasi kesuburan ialah tanggapan bahawa mendapatkan pandangan pakar bermakna pasangan perlu menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).

Bagaimanapun, konsultasi kesuburan lazimnya bermula dengan usaha memahami faktor yang mungkin menyebabkan kesukaran untuk hamil sebelum pilihan rawatan yang bersesuaian dibincangkan.
Bergantung kepada keadaan setiap individu atau pasangan, pendekatan yang dicadangkan boleh melibatkan perubahan gaya hidup, penggunaan ubat-ubatan, pengurusan masalah kesihatan tertentu atau rawatan reproduktif berbantu seperti IVF sekiranya diperlukan.
Oleh itu, pasangan yang mempunyai kebimbangan berkaitan kesuburan atau sedang merancang kehamilan digalakkan mendapatkan pandangan profesional pada peringkat lebih awal.
Forum Before We Bloom turut menekankan kepentingan persediaan menyeluruh sebelum kehamilan serta pemahaman bahawa usaha mendapatkan zuriat merupakan perjalanan yang melibatkan kedua-dua pasangan.
