KUALA LUMPUR – Pengalaman membeli-belah produk kesihatan, kecantikan dan gaya hidup kini memasuki dimensi baharu menerusi pembukaan Watsons Plus di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, yang menghimpunkan lebih 17,000 produk dalam satu destinasi.
Beroperasi di kawasan seluas lebih 18,000 kaki persegi, cawangan itu bukan sahaja menjadi kedai ke-888 Watsons Malaysia, malah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kedai peruncitan kesihatan dan kecantikan terbesar di Malaysia.
Terletak di lokasi tumpuan pelancong dan pengunjung bandar, Watsons Plus diperkenalkan sebagai konsep peruncitan baharu yang menggabungkan produk penjagaan diri, kecantikan, kesihatan, makanan dan keperluan gaya hidup dalam satu ruang.

Konsep berkenaan turut menggabungkan pengalaman membeli-belah secara fizikal dan digital menerusi pendekatan Offline plus Online (O+O), sekali gus memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk meneroka rangkaian produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.
Himpunan Produk Kesihatan dan Kecantikan
Watsons Plus menampilkan pelbagai pilihan produk, termasuk penjagaan kulit dari Jepun, Korea dan China, produk kecantikan premium, wangian mewah serta rangkaian penjagaan rambut.
Antara tarikan utamanya ialah zon khusus yang merangkumi Beauty Verse & Luxe Skincare, Slow Aging, Sleep & Calm, K-Health serta Hair Expert.
Selain itu, pelanggan turut boleh meneroka pilihan produk eksklusif Watsons Collection dan rangkaian produk yang menekankan aspek kelestarian.
Bagi mengetengahkan identiti tempatan, ruang Taste of Malaysia & ASEAN Snacks Corner pula menawarkan pelbagai pilihan snek tempatan dan serantau, termasuk produk berasaskan durian, kelapa, coklat serta cenderamata bercirikan budaya Malaysia.
Elemen seni batik kontemporari turut diterapkan dalam reka bentuk dalaman premis bagi menggabungkan identiti warisan tempatan dengan suasana peruncitan moden.

Tawarkan Perkhidmatan Gaya Hidup Dalam Satu Lokasi
Selain pilihan produk yang luas, Watsons Plus turut memperkenalkan pelbagai perkhidmatan interaktif bagi melengkapkan pengalaman pelanggan.
Antaranya termasuk Watsons Club Lounge yang menyediakan ruang khas untuk ahli, Scalp Wash Studio oleh Number76 serta perkhidmatan dandanan kuku, kening dan bulu mata.
Pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan imbasan kulit dan kulit kepala, selain menikmati kemudahan farmasi serta ruang permainan kanak-kanak.
Kehadiran kafe ZUS COFFEE di dalam premis turut menambah pilihan kepada pengunjung yang ingin berehat sambil menikmati minuman ketika membeli-belah.

Kerjasama itu turut menawarkan minuman istimewa Iced Strawberry Blue Matcha Latte bersama aksesori cawan dan pelekat edisi terhad.
Gabungan pelbagai perkhidmatan ini memperlihatkan usaha Watsons memperluas peranannya daripada peruncit kesihatan dan kecantikan kepada destinasi gaya hidup yang menawarkan pengalaman lebih menyeluruh.
Cerminkan Evolusi Peruncitan Moden
Pembukaan Watsons Plus turut menandakan satu lagi pencapaian dalam perkembangan jenama itu di Malaysia, selepas lebih tiga dekad beroperasi sejak 1994.
Menurut Pengarah Urusan Serantau Kesihatan & Kecantikan Asia AS Watson Group merangkap Pengarah Eksekutif Serantau Watsons Antarabangsa, Caryn Loh, pembukaan cawangan berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.


Beliau berkata, Watsons Plus bukan sekadar cawangan terbesar syarikat itu di Malaysia, malah menjadi langkah penting dalam membentuk masa depan industri peruncitan.
Dengan gabungan kepelbagaian produk, perkhidmatan khusus dan pengalaman membeli-belah bersepadu, Watsons Plus dijangka menjadi antara destinasi pilihan pengguna yang mencari produk kesihatan, kecantikan dan gaya hidup di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Orang ramai boleh mengunjungi Watsons Plus di Lot 10, Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
