MEITU_20261018_095549778

KUALA LUMPUR- KAB Goldynamics Sdn Bhd (KAB Gold) terus memperkukuh kedudukannya dalam industri emas tempatan menerusi pembukaan cawangan fizikal baharu di KL Traders Square, Setapak, sekali gus memperluas akses pelanggan terhadap perkhidmatan dan produk emas syarikat itu.

Pembukaan cawangan berkenaan bukan sahaja menjadi langkah strategik untuk mendekati pelanggan di Lembah Klang, malah mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan ekosistem perniagaan emas yang berteraskan prinsip syariah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KAB Gold, Mohamed Khairul Anuar Mohd Basri berkata, syarikat itu mahu memastikan prinsip Dipandu Syariah diterapkan secara menyeluruh dalam operasi, pemasaran dan perkhidmatan pelanggan.

Menurutnya, pematuhan syariah bukan sekadar pendekatan pemasaran, sebaliknya menjadi asas dalam setiap urusan perniagaan yang dijalankan.

Beliau berkata, setiap tindakan syarikat turut mendapat kelulusan dan khidmat nasihat pakar syariah, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah, bagi memastikan urusan bersama pelanggan dilaksanakan secara telus dan berlandaskan prinsip Islam.

Komitmen itu selari dengan usaha KAB Gold untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, selain membina keyakinan masyarakat terhadap pengurusan perniagaan emas yang berintegriti.

Dalam perkembangan sama, KAB Gold turut menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab sosial menerusi sumbangan wang tunai berjumlah RM30,000 kepada 60 penerima dalam kalangan golongan asnaf.

Daripada jumlah itu, seramai 30 penerima di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima sumbangan, manakala 30 lagi merupakan golongan asnaf di sekitar Gombak.

Setiap penerima memperoleh sumbangan sebanyak RM500 hasil inisiatif pengagihan semula pulangan zakat perniagaan yang telah ditunaikan kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Mohamed Khairul Anuar berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan falsafah syarikat untuk berkongsi rezeki dan memastikan kejayaan perniagaan turut memberi manfaat kepada masyarakat.

Majlis perasmian cawangan baharu itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pendakwah selebriti, Ustaz Zul Ramli M. Razali, selain penganjuran kenduri rakyat, tawaran promosi dan cabutan bertuah untuk pengunjung.

Memasuki tahun keenam operasi, KAB Gold turut mempergiat usaha memperluas rangkaian perniagaannya ke seluruh negara menerusi kerjasama strategik dengan Sahabat Ar-Rahnu di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Setakat tahun ini, syarikat berkenaan telah melancarkan tiga pusat kutipan di cawangan Sahabat Ar-Rahnu yang terletak di Miri, Sarawak; Pontian, Johor; dan Kuala Terengganu, Terengganu.

Kemudahan itu membolehkan pelanggan di luar ibu kota menjalankan transaksi pengeluaran dan pembelian emas KAB Gold dengan lebih mudah.

Menurut Mohamed Khairul Anuar, syarikat menyasarkan pembukaan lebih banyak pusat kutipan selaras dengan perkembangan rangkaian cawangan Ar-Rahnu yang dikendalikan oleh Koperasi Sahabat.

Langkah itu dijangka dapat memperluas capaian perkhidmatan syarikat, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang ingin mendapatkan akses kepada produk emas tanpa bergantung sepenuhnya kepada cawangan fizikal di bandar utama.

Dalam pada itu, orang ramai turut disaran melengkapkan diri dengan pengetahuan yang mencukupi mengenai emas sebelum membuat keputusan untuk membeli atau menjadikannya sebagai aset simpanan jangka panjang.

Membawa slogan Beyond Gold atau Lebih Daripada Sekadar Emas, KAB Gold menekankan kepentingan membina pemahaman yang betul mengenai pemilikan emas, termasuk dalam menghadapi perubahan harga pasaran.

Mohamed Khairul Anuar berkata, pengetahuan yang baik dapat membantu pelanggan membuat keputusan secara lebih rasional tanpa terlalu dipengaruhi sentimen turun naik harga emas dalam jangka pendek.

Sebaliknya, pendekatan simpanan yang konsisten dengan matlamat kewangan jangka panjang perlu diberi perhatian, termasuk memahami jumlah gram emas yang dimiliki serta risiko dan kos berkaitan.

Perkembangan KAB Gold memperlihatkan usaha syarikat menggabungkan pengembangan rangkaian perniagaan, pendekatan berteraskan syariah dan tanggungjawab sosial dalam memperkukuh kedudukannya dalam industri emas tempatan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading