file_00000000f264821185860ea2d3500591

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyambut baik keputusan kerajaan meningkatkan dana pembiayaannya kepada RM500 juta menerusi Belanjawan 2027, berbanding RM350 juta sebelum ini, bagi memperkukuh sokongan terhadap pembangunan dan penskalaan perniagaan usahawan Bumiputera.

Peningkatan dana itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap peranan PUNB dalam memperkasa usahawan Bumiputera, khususnya bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan, meningkatkan daya saing serta meneroka peluang dalam industri bernilai tinggi.

Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin, berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan, atas kepercayaan yang diberikan.

Menurutnya, PUNB komited melaksanakan amanah tersebut dengan penuh integriti, berlandaskan tadbir urus yang baik dan telus bagi memastikan dana pembiayaan disalurkan kepada usahawan yang layak.

Beliau berkata, usahawan Bumiputera kini bersedia melangkah lebih jauh dengan mengambil peranan bukan sahaja sebagai pembekal, malah sebagai peneraju industri yang mampu memacu inovasi dan automasi bertaraf global.

Sehubungan itu, PUNB akan terus memperkukuh sokongan bagi memastikan usahawan Bumiputera mempunyai akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti yang bersesuaian dengan aspirasi pertumbuhan perniagaan mereka.

Izwan turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan lain bagi memastikan bantuan yang disediakan memberikan impak nyata kepada komuniti usahawan.

Pendekatan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri ketika Majlis Perasmian SParK 2026, yang menekankan kepentingan sinergi dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.

Peningkatan dana pembiayaan tersebut juga merupakan kesinambungan komitmen kerajaan yang dizahirkan pada majlis berkenaan, apabila Perdana Menteri mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan program pembiayaan PUNB serta menyatakan kesediaan kerajaan mempertimbangkan peningkatan pembiayaan berdasarkan prestasi dan keberkesanan pelaksanaan mandat perbadanan itu.

Selari Agenda Ekonomi Bumiputera

Tumpuan Belanjawan 2027 terhadap pemerkasaan ekonomi Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) turut membuka ruang kepada PUNB untuk memperluas peranannya dalam membantu usahawan menembusi pasaran yang lebih besar.

Usaha kerajaan melonjakkan kedudukan negara dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), tenaga baharu dan industri bernilai tinggi juga dilihat bertepatan dengan matlamat PUNB untuk membantu usahawan Bumiputera merebut peluang dalam sektor yang menawarkan potensi pertumbuhan lebih besar.

Pada masa sama, PUNB memberi penekanan terhadap pembiayaan mampan dan pembangunan kapasiti secara berterusan bagi memastikan perniagaan usahawan bukan sahaja berkembang, malah mampu bertahan dalam persekitaran ekonomi yang semakin kompetitif.

Perluas Akses Menerusi Skim Pembiayaan Baharu

Sepanjang 2026, PUNB melaksanakan penjajaran semula skim pembiayaan perniagaannya menerusi PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA.

Langkah itu bertujuan memastikan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan usahawan pada pelbagai peringkat perkembangan perniagaan.

PUNB turut memperkenalkan tiga produk baharu di bawah PROSPER GROW, iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ.

Pengenalan produk tersebut dijangka memperluas akses pembiayaan kepada lebih ramai usahawan, sekali gus membantu mereka mengembangkan operasi dan memperkukuh kedudukan perniagaan masing-masing.

PUNB menegaskan komitmennya untuk terus menyokong aspirasi Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), dengan perincian inisiatif berkaitan pelaksanaan Belanjawan 2027 akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan kemudahan pembiayaan yang ditawarkan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi PUNB di www.punb.com.my.

Leave a Reply