IMG_20261107_140132

KUANTAN – King’s Park Development Sdn. Bhd. dan Rita Synergy Holding memeterai perjanjian kerjasama bagi menerajui pembangunan King’s Park Genting Highlands, sekali gus membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perniagaan dan gaya hidup.

Kerjasama strategik itu menggabungkan visi pembangunan King’s Park Development dengan kepakaran Rita Synergy Holding dalam meneroka potensi kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan bersepadu.

Inisiatif yang turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Pahang itu disasarkan mampu merancakkan ekonomi tempatan serta menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Antara komponen utama pembangunan berkenaan ialah Silk Road Market yang dirancang sebagai destinasi komersial dan pelancongan dengan menggabungkan pelbagai tarikan termasuk gastronomi, produk tempatan, makanan dan minuman (F&B) serta ruang perniagaan.

Pembangunan Silk Road Market dijangka menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung menerusi kepelbagaian pilihan makanan, produk dan aktiviti yang mengetengahkan keunikan budaya serta cita rasa tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati berkata, pembangunan itu bukan sekadar menyediakan ruang komersial, malah membuka peluang kepada usahawan, pengusaha F&B dan pemain industri tempatan untuk memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran lebih luas.

Menurutnya, pihaknya turut diberi tanggungjawab untuk memenuhi keperluan komponen makanan dan minuman serta gaya hidup di Silk Road Market dengan menarik lebih ramai pengusaha untuk terlibat sama di dalam Silk Road Market.

“Kami juga memberi tumpuan kepada usaha membawa masuk dan mempromosikan jenama tempatan untuk diketengahkan di King’s Park yang bakal menjadi hab pelancongan mesra Muslim.

Antara negara yang disasarkan termasuk Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei, sekali gus menjadikan Silk Road Market sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai jenama serta produk dari rantau ini.

Dalam pada itu, pembangunan King’s Park Genting Highlands akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama kini mencapai kemajuan 90 peratus dan dijadualkan dirasmikan pada September 2027.

Keseluruhan projek berkenaan dijangka siap pada 2030, merangkumi pembinaan hotel, taman tema berkonsepkan Upin & Ipin serta beberapa kemudahan dan fasiliti pelancongan lain.

Pembangunan itu bakal menggabungkan pelbagai komponen termasuk tarikan hiburan keluarga, kawasan komersial dan kemudahan pelancongan bagi membentuk sebuah ekosistem destinasi bersepadu.

Selain itu, pembangunan Halal Hub turut diberi perhatian dengan penekanan terhadap pematuhan keperluan halal dan piawaian berkaitan bagi memenuhi keperluan pengunjung Muslim serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan halal.

King’s Park menyasarkan kehadiran antara enam hingga sepuluh juta pengunjung setahun, sekali gus berpotensi memperkukuh kedudukan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai pengalaman merangkumi hiburan keluarga, gastronomi, membeli-belah dan gaya hidup.

Pembangunan Silk Road Market diharap dapat mewujudkan satu lagi tarikan pelancongan berkonsepkan mesra Muslim di Genting Highlands, selain menyediakan platform kepada usahawan dan perniagaan tempatan untuk berkembang ke pasaran lebih luas.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan, Hazirah Ibrahim berkata, pembangunan Silk Road Market diharap dapat mewujudkan satu lagi tarikan pelanconganberkonsepkan mesra Muslim di Genting Highlands, selain menyediakan platform kepada usahawan dan perniagaan tempatan untuk berkembang ke pasaran lebih luas.

Kerjasama King’s Park Development dan Rita Synergy Holding itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam meneroka peluang pembangunan yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada industri pelancongan, komuniti perniagaan dan ekonomi negara, khususnya Pahang.

Turut hadir Pengasas bersama King’s Park Genting Highlands, Dato’ Seri Dr. Michael Yong dan Pengarah Kerjasama Strategik, Alice Yong.

Leave a Reply