SERDANG – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh usaha membudayakan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai agenda strategik negara dalam merealisasikan aspirasi Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Usaha itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada penganjuran acara tahunan atau pertandingan, sebaliknya merangkumi pembangunan bakat teknologi, pengukuhan ekosistem penyelidikan serta merancakkan inovasi tempatan bagi menyokong kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Menerusi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, kerajaan menetapkan hala tuju untuk mengubah Malaysia daripada sebuah negara pengguna kepada negara pembangun teknologi yang mampu menghasilkan inovasi sendiri serta bersaing di peringkat global.
Sehubungan itu, MOSTI mempergiat kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan agensi berkaitan bagi membangunkan ekosistem STI yang menyeluruh, meliputi pembudayaan sains, pembangunan bakat, penyelidikan, pembangunan teknologi serta pengkomersialan inovasi.

“Penyertaan sebanyak 3.19 juta menerusi Malaysia Techlympics 2026 membuktikan minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Jumlah penyertaan meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan sambutan positif masyarakat terhadap inisiatif pembangunan bakat teknologi yang dilaksanakan di seluruh negara” katanya dalam sidang media disini hari ini.
Dalam menghadapi landskap global yang semakin dipacu kecerdasan buatan (AI), robotik dan teknologi digital, penguasaan sains serta teknologi dilihat sebagai keperluan penting bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing.
Justeru, pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu menjadi pelaburan strategik negara dengan memastikan setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, mendapat peluang meneroka bidang berkenaan serta mengembangkan potensi diri.
Bagi memperluas capaian dan meningkatkan impak kepada masyarakat, MOSTI tahun ini menghimpunkan beberapa program utama pembudayaan STI menerusi penganjuran bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
“Malaysia Techlympics bukan sekadar platform pertandingan, sebaliknya berperanan mencungkil bakat baharu, membina kreativiti serta meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah melalui aplikasi teknologi dan inovasi.

Menerusi penganjuran itu, Minggu Sains Negara (MSN) berjaya menarik seramai 91,273 pengunjung, manakala Malaysia Techlympics mencatat peningkatan penyertaan kepada 3.19 juta di seluruh negara berbanding 1.8 juta pada tahun sebelumnya.
Peningkatan berkenaan mencerminkan perkembangan minat dan penglibatan generasi muda terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi tanpa mengira lokasi.
Malaysia Techlympics bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi platform untuk mencungkil bakat, membina kreativiti serta mengasah kemahiran menyelesaikan masalah menerusi aplikasi teknologi dan inovasi.
Langkah berkenaan turut menyokong usaha memperkukuh ekosistem STI negara agar terus mampan, berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.
Program Pembudayaan STI Bersepadu itu turut menampilkan beberapa program satelit anjuran agensi di bawah MOSTI yang melengkapi pengisian utama.
Antaranya ialah Rehlah Sains oleh Pusat Sains Negara (PSN) yang mengetengahkan pembelajaran sains secara kreatif dan interaktif menerusi pameran serta pertandingan.
Program berkenaan menyediakan ruang pertandingan dan pencungkilan bakat dalam bidang teknologi serta inovasi.
Dalam usaha merealisasikan aspirasi sebagai negara berteknologi tinggi, Malaysia perlu melakukan anjakan paradigma daripada negara pengguna kepada negara pencipta, pembangun dan peneraju teknologi.

Penglibatan dalam aktiviti seperti penghasilan robot, pembangunan aplikasi melalui pengaturcaraan dan penyertaan pertandingan teknologi boleh menjadi titik permulaan kepada kelahiran lebih ramai saintis, jurutera, pencipta teknologi serta usahawan inovasi negara.
Inisiatif itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem inovasi yang lebih kukuh sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berteknologi tinggi yang mampu mencipta dan membangunkan teknologi sendiri menjelang 2030.
Pada majlis berkenaan, Kelantan muncul sebagai kontinjen dengan jumlah penyertaan tertinggi menerusi catatan 1.06 juta penyertaan.
