SEREMBAN – Golongan rentan, khususnya ibu tunggal dan suri rumah, kini berpeluang menjana pendapatan sendiri menerusi Program Latihan Kemahiran Golongan Rentan anjuran GIATMARA yang menawarkan latihan praktikal pembuatan beg dalam tempoh lima hari.
Program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dilaksanakan menerusi kursus jangka pendek atau Short Course Training (SCT) selama kira-kira 40 jam, merangkumi latihan teori dan praktikal bagi membantu peserta membina kemahiran serta meneroka peluang keusahawanan.

Timbalan Pengarah GIATMARA Negeri Sembilan, Mohd Zairin Mohamad Yunus berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memperkasakan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap dengan memberikan kemahiran yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan.
Menurutnya, seramai 10 peserta terpilih yang mempunyai asas jahitan menyertai latihan berkenaan dengan memberi tumpuan kepada penghasilan pelbagai jenis beg termasuk tote bag dan clutch bag berdasarkan kreativiti serta permintaan pasaran.
Katanya, program itu bukan sekadar memberikan kemahiran baharu, malah membantu peserta mengembangkan kebolehan sedia ada kepada penghasilan produk yang mempunyai nilai komersial.
“Peserta mungkin sebelum ini mempunyai asas jahitan dan biasa menerima tempahan pakaian. Namun, menerusi latihan ini, mereka berpeluang mempelajari teknik baharu untuk menghasilkan beg dengan pelbagai reka bentuk yang boleh dipasarkan.
“Kemahiran ini mempunyai potensi tersendiri dan boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan, khususnya kepada wanita yang mempunyai komitmen keluarga atau pekerjaan lain,” katanya ketika ditemui di GIATMARA Seremban.





Beliau berkata, pemilihan peserta dilaksanakan di peringkat pusat berdasarkan dokumen permohonan dan kelayakan, dengan keutamaan diberikan kepada golongan rentan termasuk individu tidak bekerja, suri rumah serta orang kurang upaya (OKU).
Setiap peserta turut menerima elaun RM400 berserta kemudahan peralatan penekap butang dan seterika bagi menyokong usaha mereka meneruskan aktiviti penghasilan produk selepas tamat latihan.
Sementara itu, tenaga pengajar, Nuraini A Jalil berkata, peserta perlu mempunyai sekurang-kurangnya asas jahitan memandangkan tempoh latihan yang singkat serta penggunaan mesin jahit dan peralatan khusus dalam proses menghasilkan beg.
Sepanjang lima hari latihan, peserta berpeluang mempelajari kira-kira lima jenis beg bergantung kepada tahap penguasaan dan keupayaan masing-masing.
Menariknya, latihan itu turut merangkumi pendedahan kepada pemasaran digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan poster promosi produk.

Pendedahan berkenaan dijadualkan pada hari keempat bagi membolehkan peserta mempelajari cara memasarkan hasil tangan masing-masing menerusi platform media sosial seperti WhatsApp dan TikTok.
Menurut Nuraini, GIATMARA turut merancang melaksanakan pemantauan selama tiga bulan selepas tamat kursus bagi menilai perkembangan peserta, termasuk penguasaan kemahiran dan keupayaan menjana pendapatan melalui produk yang dihasilkan.
Peserta yang memerlukan bimbingan tambahan juga digalakkan mendapatkan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar bagi meningkatkan kemahiran, khususnya dalam menghasilkan pelbagai corak serta reka bentuk beg.
Dalam usaha memperluaskan peluang pemasaran, GIATMARA turut mempertimbangkan beberapa pendekatan termasuk promosi menerusi media sosial dan penempatan produk di kedai usahawan yang bersesuaian bagi membolehkan pelanggan membuat tempahan.
Selain itu, sesi keusahawanan turut dirancang untuk menghimpunkan peserta selepas tamat latihan bagi memberikan bimbingan berkaitan pembangunan produk, strategi jualan dan pengurusan perniagaan.
Berkongsi pencapaian program terdahulu, beliau berkata, kira-kira 80 peratus peserta daripada beberapa siri latihan sebelum ini berjaya memanfaatkan kemahiran yang dipelajari sebagai sumber pendapatan.
Malah, terdapat peserta yang pada awalnya tidak mempunyai pengalaman menggunakan mesin jahit tetapi berjaya menguasai kemahiran asas dalam tempoh lima hari hasil minat, kesungguhan dan komitmen sepanjang latihan.
Katanya, pemilihan modul latihan juga mengambil kira perkembangan trend semasa bagi memastikan kemahiran yang ditawarkan kekal relevan serta mempunyai potensi untuk dikomersialkan.
“Matlamat kita bukan sekadar memberikan ilmu dalam tempoh lima hari, tetapi memastikan peserta mampu menggunakan kemahiran tersebut untuk menghasilkan produk, menjalankan perniagaan dan seterusnya meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, peserta program, Siti Hajar Hashim, 60, yang merupakan seorang ibu tunggal berkata, kursus berkenaan banyak membantu meningkatkan kemahirannya dalam pembuatan beg sekali gus membuka peluang memperoleh pendapatan sampingan.

Beliau menyokong agar program seumpama itu diperluaskan kerana bukan sahaja memberikan pengalaman baharu, malah membantu peserta membina keyakinan untuk memasarkan produk sendiri.
“Selepas tamat program ini, saya berhasrat mengiklankan beg yang dihasilkan selain menerima tempahan mengikut cita rasa pelanggan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Wardatul Muhaijah Basir yang bertugas sebagai guru KAFA sandaran berkata, kursus jangka pendek itu memberikan peluang kepadanya meneroka kemahiran baharu bagi meningkatkan keupayaan diri serta ekonomi.

Beliau turut berminat menyertai kursus dalam bidang kemahiran lain pada masa hadapan sebagai usaha menambah nilai pengetahuan dan kemahiran hidup.
GIATMARA akan terus komited memperkasa pembangunan kemahiran masyarakat menerusi pelbagai program latihan yang bukan sahaja memberikan ilmu dan pengalaman, malah membuka peluang kepada golongan memerlukan untuk membina sumber pendapatan serta masa depan lebih baik.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program kursus jangka pendek GIATMARA boleh melayari laman web www.giatmara.edu.my.
