KUALA LUMPUR: Jual harga runtuh serendah 50 hingga 60 peratus berbanding produk tulen. Itu antara taktik sindiket yang aktif memalsukan telekung jenama Siti Khadijah (SK) sebelum dijual pada harga serendah RM30 sepasang.

Malah sindiket yang aktif menyeludup masuk telekung dari Vietnam itu dikesan aktif memasarkan telekung SK tiruan melalui Facebook.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Siti Khadijah Holding Sdn Bhd (SKHSB), Sahar Sahad berkata, aktiviti pemalsuan telekung SK berlaku sejak dua tahun lalu dan kini semakin berleluasa.

Menurutnya, telekung SK dijual pada harga paling murah RM138 sepasang, namun sindiket menjual SK tiruan pada harga semurah RM30.

“Pada peringkat awal, kami tidak begitu mengambil kisah produk SK tiruan menggunakan logo dan hak cipta produk kami. Namun tindakan ini jelas menjejaskan jenama dan reputasi produk SK.

“Susulan itu aduan sudah dibuat kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum rampasan dilakukan di tiga premis di Johor, Selangor dan Terengganu,” katanya.

Menurutnya, sindiket tidak hanya cuba meniru reka bentuk telekung SK, malah turut memalsukan hologram pada produk SK tulen.

“Terdapat beberapa perbezaan ketara pada telekung SK tiruan terutama jahitan kurang kemas, lipatan produk di dalam bungkusan yang tidak menunjukkan bahagian kepala selain jenis fabrik yang panas.

“Produk telekung SK tulen menggunakan bahan `rahsia’ bagi memastikan rambut si pemakai tidak terkeluar, getah khas, reka bentuk berbeza dan kain kapas lembut,” katanya.

Sahar berkata, telekung SK adalah produk buatan tempatan dan syarikat SK tidak mempunyai kilang di Vietnam serta melantik ejen untuk membawa masuk produk dari negara itu.

“Produk tulen hanya dijual melalui 28 butik di negara ini, manakala 12 butik di Indonesia. Maklumat berhubung produk SK boleh perolehi di laman jual beli dalam talian iaitu Lazada, Shopee, FashionValet dan Astro Go Shop,” katanya pada sidang media semalam.

Menurutnya, SK mempunyai 217 pekerja dan 99 peratus daripadanya adalah warga tempatan dan ibu tunggal.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading