PUTRAJAYA: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kehilangan wang tabung amanah pembayaran tuntutan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM18 bilion.
Beliau berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa SPRM membuat siasatan lanjut berhubung dakwaan itu yang disifatkannya sebagai tidak berasas.
“Benda itu (dakwaan) tidak berasas, saya mahu benda yang terperinci, sebab dia (Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) kata kehilangan, benda itu (wang) tidak hilang tapi masuk ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.
“Saya buat laporan kepada SPRM sebab saya mahukan kebenaran,” katanya kepada pemberita sebelum meninggalkan ibu pejabat SPRM di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Irwan tiba di SPRM kira-kira jam 9.40 pagi dengan memandu kenderaan Chevrolet hitam.
Beliau turut memaklumkan akan turut membuat laporan polis berhubung dakwaan sama pada hari ini.
Semalam pada sidang medianya, Mohd Irwan berkata tiada wang yang hilang dalam dana amanah pembayaran balik GST kerana semua kutipan sistem percukaian itu perlu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.
Penjelasan diberikan Mohd Irwan itu bagi menafikan pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Parlimen mengenai berlaku kekurangan RM18 bilion dalam dana amanah pembayaran balik GST dan mendakwa pentadbiran terdahulu menyalahgunakan wang itu.
Guan Eng juga mendakwa bayaran balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran terdahulu telah ‘merompaknya’.
Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion. Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.
