Perkara itu dimaklumkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Ariff menerima pemakluman mengenai Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen ke-14 itu daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Ketua Majlis selaras dengan Peraturan 11 (2), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Mesyuarat Kedua akan bermula dari 1 hingga 18 Julai iaitu selama 12 hari, manakala Mesyuarat Ketiga akan bermula dari 7 Oktober hingga 5 Disember selama 36 hari,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, persidangan Dewan Negara akan memulakan Mesyuarat Pertama pada 11 Mac dan dari 22 April hingga 9 Mei depan iaitu selama 11 hari.

“Mesyuarat Kedua akan bermula pada 22 hingga 31 Julai depan selama tujuh hari. Mesyuarat Ketiga akan bermula pada 9 hingga 19 Disember selama lapan hari,” tambahnya.

Sultan Abdullah secara rasmi memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari lepas, selepas istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat pengisytiharan memegang jawatan di Istana Negara.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Januari selepas dilantik pada 13 Disember 2016.