Kakak mangsa, Mariani Shuib, 49, berkata, isteri Mohd. Tarmizi, Marina Hamzah, 46, memaklumkan bahawa adik bongsunya itu telah selamat menjalani pembedahan pada pagi ini.

“Alhamdulillah saya lega apabila mendapat tahu adik saya dalam keadaan stabil dan kami sekeluarga mendoakan dia cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung di sini hari ini.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Katanya, anak kedua Mohd. Tarmizi, Mohd. Haziq, 17, yang hilang sejurus insiden itu masih belum ditemui.

“Haziq belum ditemui dan saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan keselamatan anak saudara saya itu,” ujarnya yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Menurut Mariani, dia dan sepupunya, Nordina Ahmad Fauzi, 30, akan berlepas ke New Zealand dalam masa terdekat ini dengan tiket penerbangan dibiayai oleh kerajaan negeri Kedah dan Pusat Khidmat Parlimen Pokok Sena.

“Saya sedang menguruskan tiket penerbangan dan merancang untuk pergi ke sana secepat mungkin,” ujarnya.

Tambahnya, dia sukar untuk menerima kejadian yang berlaku terhadap adik bongsunya itu kerana mereka sangat rapat.

Seorang lagi kakak mangsa, Zarina, 53, meminta orang ramai tidak menyebarkan berita kononnya Mohd. Tarmizi telah meninggal dunia di Facebook.

“Kami sekeluarga dalam keadaan susah hati dan bersedih, jadi saya berharap tiada lagi penyebaran cerita palsu bahawa Tarmizi telah meninggal dunia,” katanya.