KOTA KINABALU: Jenazah Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya AR Badul, akan dibawa pulang ke kampung halaman isterinya, di Perak, malam ini.
Van membawa jenazah Mohd Zahir keluar dari perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Unit Forensik Patologi, Hospital Queen Elizabeth, di sini, kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Jenazah dibawa ke Masjid As Salam Kem Lok Kawi untuk solat jenazah, sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) malam ini.
Difahamkan jenazah akan diterbangkan ke Kuala Lumpur pada jam 9.25 malam.
Difahamkan, jenazah Mohd Zahir dijangka tiba di rumah ibu mentuanya di Taman Perpaduan, Ipoh, jam 4 pagi esok dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun selepas solat Subuh.
Tinjauan BH di tanah perkuburan di Ipoh mendapati pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang membuat persiapan untuk majlis pengebumian dengan memasang beberapa khemah serta lampu.
Sementara itu, Kerajaan Sabah merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Mohd Zahir atas pemergiannya ketika melaksanakan latihan demonstrasi Pelancaran Divisyen Ke-5 dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berharap semoga keluarga Allahyarham terus tabah dan sabar atas berita duka ini.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi kenyataannya di sini, hari ini.
