SHAH ALAM – Penyanyi, Kaka Azraff, mengaku sudah memilih nama untuk cahaya mata lelakinya yang bakal dilahirkan pada minggu hadapan.
Kaka berkata, nama yang bakal diberikan kepada anak sulungnya adalah hasil perbincangan bersama suami, Adam Azriff, selain mempunyai erti tersendiri buat mereka berdua.
“Nama untuk anak sulung kami sudah pun dipilih, cuma ia belum dapat dikongsi kepada umum. Bukan apa, siapa tahu kalau tiba-tiba kami berubah fikiran?
“Jika diikutkan, memang saya teringin menimang anak perempuan. Bagaimanapun, saya bersyukur menerima apa sahaja anugerah Allah, asalkan anak bakal dilahirkan sihat. Mengikut jangkaan doktor, saya bakal bersalin pada 9 Oktober ini.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 30, berkongsi mengenai persediaan dan debaran menjelang kelahiran anak sulungnya pada majlis pelancaran video muzik single terbarunya, Diamonds, di sini.
Berkongsi lebih lanjut, Kaka mengakui pengalaman bergelar ibu hamil sangat berharga.
Selain mengalami penambahan berat badan sebanyak 15 kilogram, dia turut berdepan masalah alahan pada penghujung proses kehamilan.
