Bandar Malaysia – Pelakon Hollywood, Cody Walker, 31, tidak menyangka negara ini memiliki ramai peminat yang meminati lakonan abangnya, mendiang Paul Walker yang terkenal menerusi siri filem Fast & Furious.

Perkara itu dapat dilihat menerusi sambutan lebih 2000 pengunjung yang hadir ke program permotoran Drive 4 Paul Drift Show by Drift Factory Malaysia di tapak Bandar Malaysia di Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.

Program anjuran Retro Havoc Malaysia dan Reach Out World Wide (ROWW) dan Todak Racing selaku penaja rasmi bersama Energy Monster itu didedikasikan untuk mendiang pelakon berkenaan.

Cody berkata, beliau tidak menyangka cuaca panas di negara ini tidak menghalang peminat abangnya untuk memeriahkan program berkenaan.

“Terima kasih kerana menghargai abang saya. Walaupun cuaca panas mereka sanggup datang bagi memeriahkan lagi program ini,” katanya.

Menurut Cody, beliau terharu sebaik menerima jemputan untuk program berkenaan dan ia kunjungan pertama kalinya ke Malaysia.

“Di peringkat dunia, tiga program sama pernah dianjurkan dan saya memilih Malaysia kerana sebelum ini menanam impian untuk datang ke sini,” katanya.

Program disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

Sementara itu Presiden Todak Racing, Mohamed Aizuddin Mohamed Khairi berkata, penglibatan Todak Racing sebagai penaja program bersama Energy Monster itu sekaligus bertujuan memberikan sokongan terhadap industri permotoran negara, bukan sahaja bertumpu kepada golongan belia malah terbuka kepada pelbagai peringkat umur.

Katanya, antara aktiviti diadakan adalah pertunjukan kereta dan basikal, jualan produk, memperkenalkan pelumba negara selain persembahan artis oleh Shiha Zikir dan Razak A’ai.

Beliau juga mengharapkan acara sebegini bakal menjadi program tahunan dan akan merancang akan lebih besar memandangkan sambutan luar biasa peminat sukan permotoran di Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading