KUALA TERENGGANU – Pemilik premis makanan ternakan haiwan dibenarkan beroperasi, tetapi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kerajaan memutuskan semua premis perniagaan makanan ternakan di kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) beroperasi.

Bagaimanapun, pemilik premis disyaratkan hanya beroperasi tiga hari seminggu iaitu Ahad, Selasa dan Khamis.

“Kerajaan membenarkan pemilik premis perniagaan berkenaan beroperasi hanya tujuh jam bermula jam 8 pagi hingga 2 petang sepanjang tempoh PKP fasa dua.

“Pemilik premis perlu memasang tali rentang untuk pelanggan beratur dalam jarak satu meter antara satu sama lain di luar kedai selain dilarang berkumpul dengan jumlah yang ramai bagi mengelak penularan wabak COVID-19,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (DUN) Jabi, berkata demikian ketika mengulas rungutan penternak sukar mendapatkan bekalan makanan ternakan, berikutan arahan PKP dikeluarkan kerajaan.

Selain larangan mengehadkan pergerakan, penternak juga menghadapi kesukaran mendapatkan makanan ternakan berikutan kebanyakan pemilik premis menutup perniagaan bimbang dikenakan tindakan jika beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Dr Azman menegaskan, penternak dan pemilik premis makanan ternakan dituntut mematuhi garis panduan PKP, termasuk larangan dikeluarkan pihak penguatkuasa, terutama hanya seorang sahaja dibenarkan dalam kenderaan.

“Ketetapan pematuhan itu dikeluarkan bertujuan meminimumkan pergerakan untuk mencegah penularan wabak COVID-19,” katanya.

Leave a Reply