Putrajaya – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di pasaraya HERO disini hari ini.
Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada rakyat, beliau berpuas hati dengan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang berlangsung sejak Julai lepas.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyasarkan jualan bernilai RM100 bilion menerusi Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan melihat setakat ini telah mencapai separuh dari sasaran.

“Kementerian juga menggalakkan lebih ramai dalam sektor peruncitan yang terlibat dalam PJM dan KBBM agar bersama-sama membantu pertumbuhan ekonomi negara dengan mengadakan jualan murah untuk mengalakkan rakyat berbelanja.
“Kempen ini wajar diteruskan kerana ianya secara tidak langsung dapat membantu pengguna bijak membeli dengan harga yang ditawarkan” katanya kepada media.
Mengulas lanjut, Rosol berkata barangan tempatan sebelum ini dilihat sukar untuk masuk ke pasar raya besar atas beberapa faktor seperti mutu dan pembungkusan.
Bagaimanapun, pihak KPDNHEP bekerjasama dengan pengurusan pasar raya untuk memberi ruang kepada produk tempatan.

Untuk rekod, KBBM dan PJM adalah sebuah inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh KPDNHEP.
Kedua-dua inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan perbelanjaaan domestik dengan menggalakkan pengguna di Malaysia berbelanja dengan mengutamakan pembelian barangan buatan tempatan.
